Tahun 2016 sedang berada di ambang pintu dan kita sedang meninggalkan tahun 2015 yang ditandai oleh pelbagai masalah ekonomi, kemasyarakatan, malah masalah perkauman.
Semua masalah ini, nampaknya terpaksa dibawa ke tahun 2016 dan mungkin akan berlanjutan, justeru penyelesaiannya belum kelihatan.
Masalah itu, yang diketahui umum, antaranya beban yang ditanggung rakyat sangat berat kerana harga barang yang naik melambung, sementara nilai ringgit semakin menurun.
Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai lain yang sangat membebankan. Harga tol lebuh raya yang juga membebankan.
Keseluruhan kos hidup yang sangat tinggi, tidak dapat ditampung oleh rakyat berpendapatan rendah, malah berpendapatan sederhana baik di kampung juga di bandar dan semi bandar.
Dalam masa yang sama, ribuan pekerja di sektor swasta dilaporkan diberhentikan disebabkan penutupan pelbagai syarikat disebabkan keadaan ekonomi yang teruk.
Ini menambah jumlah penganggur yang kini sudah semakin bertambah. Di tengah-tengah suasana yang sedemikian rupa, ada pula pemimpin politik yang mengesyorkan supaya rakyat Malaysia melakukan dua kerja.
Maka jawab seorang tokoh, “Kalau sudah tidak ada kerja, macam mana hendak membuat dua kerja.”
Ini jawapan yang melucukan, membalas pandangan yang tidak cerdik.Inilah yang berlaku dan telahpun berlaku. Ini menjadi bahan lawak jenaka.
Adapun golongan rakyat, jumlahnya ramai yang benar-benar terkesan denggan kos hidup yang melambung tinggi. Mereka ini ialah warga kota yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Mereka ini dibebankan dengan sewa rumah, atau baru membeli rumah kos sederhana, belanja kenderaan ke pejabat, belanja makan tengah hari, belanja rumah dan perbelanjaan lain.
Dengan sesi persekolahan baru dibuka, mereka ini terpaksa pula membuat peruntukan untuk persiapan sekolah anak di samping bayaran tambang bas, makan di kantin, buku dan peralatan tambahan yang lain.
Siapa yang tidak sedih mendengarkan ada dkalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti tempatan dari keluarga miskin yang tinggal di asrama atau menyewa bilik berdekatan universiti terpaksa makan sekali sehari saja, kerana tidak kecukupan wang.Itupun mereka hanya makan berlaukkan sayur, kuah dan telur saja.
Mujurlah, khabarnya, ada usaha para mahasiswa dan masyarakat sekeliling universiti yang melakukan inisiatif melancarkan pungutan di mana wang derma itu dibelikan kupon dan di letakkan kupon itu di kantin atau di tempat tertentu di universiti.
Pelajar miskin mengambil kupon itu dan melalui kupon itu dapatlah mereka membeli makanan di kantin. Ini suatu inisiatif yang baik, menggambarkan keperihatinan terhadap pelajar miskin.
Sementara itu, dalam keadaan ekonomi yang gawat ini, ramai suri rumah yang ‘bergelut’ dengan masalah harga barang yang naik melambung.
Bayangkan kata Cik Timah yang mempunyai anak lima, suaminya hanya kerani biasa,
“Bawa wang RM50 atau RM60 apa yang boleh dibeli untuk barang dapur. Ikan berapa harga, sayur, ayam, barang lain? Memang tidak cukup.” ujarnya.
Nilai wang sebanyak itu untuk ke pasar memang tidak cukup, katanya, berbanding masa lalu.
Keluhan ini disertai oleh suri rumah yang lain.
“Ini belum lagi belanja sekolah anak-anak, pakaian mereka, duit sekolah mereka. Sangat susah hendak menampung hidup begini,” kata pula seorang lagi suri rumah, Puan Saodah.
Bagaimana pula penduduk kampung – penoreh getah yang harganya begitu rendah sekali. Demikian juga harga kelapa sawit yang harganya juga rendah.
Mereka terpaksa meneruskan kehidupan dalam keadaan yang payah. Harga barang di kampung juga mahal, malah ada ketikanya harganya lebih mahal dari di bandar.
Ini disebabkan kos pengangkutan tinggi kerana jauh masuk kampung.
Dilaporkan anak keluarga miskin yang belajar di luar negera seperti di Mesir dan Jordan menghadapi masalah yang sangat besar untuk meneruskan pelajaran kerana bekalan wang dari ibu bapa mereka sangat terhad, sementara biasiswa pula terhad, malah kadang-kadang terputus.
Bagaimana pula nasib pelajar kita di negeri Barat, tentu lebih sukar.
Semua masalah ini dihadapi oleh rakyat dan setiap hari rintihan mereka kedengaran berterusan.
Ada pihak mencadangkan supaya ‘orang-orang besar’ atau golongan kaya jangan menunjuk-nunjuk cara hidup bermewah-mewah mereka.
“Orang besar’, umpamanya, janganlah naik kapalterbang first class atau business class. Naiklah kelas ekonomi, apalah salahnya.
Demikian juga kurangkanlah majlis jamuan yang bermewah-mewah di hotel besar atau kelab ternama.
Rasailah sama derita rakyat miskin. Kurangkanlah perjalanan ke luar negeri, kecuali kalau benar-benar mustahak.
Demikian juga janganlah terlalu kerap pergi umrah, walaupun termampu. Sesekali bolehlah. Gunakanlah wang itu untuk membantu pelajar miskin atau golongan miskin yang lain.
Dalam keadaan sekarang, di mana negara kini menghadapi kegawatan ekonomi, semua pihak perlu memikirkan cara bagaimana mengatasinya.