Dilihat berang dengan pemimpin Pas, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun, Khaled Nordin menempelak parti itu sehingga menegaskan orang Johor sama sekali tidak perlukan Pas untuk meningkatkan kesedaran politik Islam.
Pemuda Umno/BN Bahagian Johor Bahru tersebut berkata, bahkan rakyat di selatan tanah air itu tidak memerlukan mana-mana parti politik untuk memberi kesedaran politik Islam.
“Kami orang Johor bangga dengan sistem pendidikan Islam yang diterapkan dalam Sekolah Kebangsaan Agama Johor (SAKJ) kami.
“Penyokong Pas dan parti Pas sendiri pun tak perlu bersifat macam ‘pelacur’ atau ‘bohsia’ kata Datuk Khaled Nordin (bekas Menteri Besar Johor) atau BN dulu kalah PRU-14.
“Dulu PRU-14, parti Pas menang cuma satu kerusi saja. Itupun ehsan kesilapan teknikal oleh calon PH.
“Umno/BN pun akui memang kekalahan PRU-14 disebabkan tsunami politik dan keselesaan BN dalam pemerintahan terdahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa “kurang kesedaran politik Islam di Johor adalah punca Pas tidak mampu menawan hati penduduk negeri itu.”
Mengulas lanjut, Khaled yang pada profilnya memaklumkan dia bukan bekas Menteri Besar Johor berpendapat Pas pada pilihan raya sebelum ini untuk memenangi kerusi di Johor pun perlu ‘melacur’ dengan DAP.
“Menang paling banyak pun empat kerusi saja atas sokongan DAP dan PKR.
“Kami orang Johor sudah belajar tentang politik dan sistem pentadbiran Islam dalam SKAJ kami. SAKJ banyak mengajar tentang fekah, tauhid, akidah, adab dan termasuk juga politik dan pentadbiran Islam.
“Yang perlukan kesedaran politik Islam ialah pemimpin Pas terutamanya di Kelantan. Pemimpin pakai kereta mewah macam Mercedes, rakyat pakai kereta biasa saja,” ujarnya.

Dalam masa sama, bekas pelajar Ijazah Kejuruteraan Sivil Universiti Teknologi Mara (UiTM) tersebut turut mengaitkan masalah bekalan air bersih di Kelantan termasuk kerap mengalami gangguan bekalan air.
“Rakyat dapat air paip teh tarik. Kena tadah air hujan. Tak ada air, pemimpin Pas suruh gali telaga pula.
“Kutuk Datuk Khaled Nordin buat highway jalan berlubang kononnya. Kau tu pun ada Central Spine Road (CSR) minta ehsan Kerajaan Persekutuan.
“Nak bangunkan ‘shop lot’ pun tak jadi sampai tanah kena lelong. Tak perlulah nak kata orang lain kurang ‘kesedaran politik Islam’,” tempelak pemuda itu lagi.