Rata-rata rakyat menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan kajian teliti sebelum mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina.
Mereka turut mempersoal hasrat Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching yang mahu UEC diiktiraf sebelum akhir tahun ini tanpa perlu dibawa ke Parlimen.
Pengguna Facebook, Mohd Izwan Shamshol Maarif bimbang kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diabaikan kerana keutamaan kepada UEC yang mengikut sistem pendidikan di Taiwan itu.
“Lepas ini kalau minta kerja, mesti lebih utamakan UEC dari SPM, macam letak keperluan bahasa Mandarin,” tulisnya.
Sementara itu, Alfaruk Al Wahabi mengingatkan sijil A-level tidak harus disamakan dengan UEC apatah lagi bahasa Mandarin tidak termasuk sebagai bahasa rasmi negara.
“Kalau ahli Melayu dalam PH dan DAP itu hanya tunduk kepada desakan DAP, kami bangsa Melayu akan kencingkan kubur korang nanti. Seteruk-teruk BN pun, tidak iktiraf UEC itu,” tegasnya.
Pandangan sama disuarakan Johari Mohd Salleh yang menganggap desakan Nie Ching sebagai keterlaluan.
“Jangan buat kerja pening. Cukup-cukuplah dengan apa yang ada. Ini tidak harmoni untuk Malaysia Baru,” ujarnya.
Nie Ching hari ini dilapor berkata matlamatnya sebelum akhir tahun ini untuk menyelesaikan isu pengiktirafan UEC.
Untuk rekod, UEC adalah satu sijil pelajaran yang digunakan sekolah persendirian Cina di Malaysia dan tiada dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Bagaimanapun, Sarawak, Melaka dan Selangor sudah mengiktiraf UEC sebagai salah satu syarat pengambilan kakitangan kerajaan di negeri-negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Azizan Omar berpendapat kerajaan PH sepatutnya memperkasakan sistem pendidikan kebangsaan di negara ini bukannya pendidikan berasaskan perkauman.
“Apa sebenrnya matlamat DAP dalam usaha untuk mengiktiraf UEC? Ke mana arah sistem pendidikan di Malaysia mahu dibawa oleh pentadbiran PH?
Kalau UEC diiktiraf, tak akan ke mana jadinya usaha untuk menyatupadukan rakyat,” tambahnya.
Menurut Salehudin Basri pula, langkah untuk mengiktiraf UEC perlu mendapatkan persetujuan majoriti dan dibawa ke Parlimen.
“Kena buat dasar yang menambahkan perpaduan dan kecintaan kepada negara. Kami pengundi PH bukan memberi sokongan melulu.
“Kami perlukan pemimpin yang mempunyai idea yang baik untuk perpaduan negara, telus dan boleh memimpin dengan baik. Kalau tidak, lima tahun lagi kami akan tukar yang lain pula,” gertak Salehudin.
Bahkan, wujud sebahagian masyarakat keturunan Cina yang juga tidak bersetuju jika kerajaan mengiktiraqf UEC.
Antaranya, Steven Cheik Sin yang memberitahu rata-rata murid lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang lemah dalam penguasaan bahasa kebangsaan akan digalakkan melanjutkan pelajaran di sekolah menengah persendirian yang menawarkan UEC.
“Ini Malaysialah. Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan kita. Sebagai rakyat Malaysia, adakah kamu malu belajar bahasa Malaysia?
“Sebagai rakyat Malaysia kita mesti bangga untuk bercakap dalam bahasa kebangsaan negara ini,” tegasnya.