Orang Sabah je boleh ‘relate’! Lelaki beli bagasi kosong dan borong roti Gardenia buat ramai terhibur

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pemuda dari Sabah ini berjaya mencuri tumpuan ramai apabila sanggup terbang ke Semenanjung Malaysia semata-mata mahu memborong roti Gardenia untuk dibawa pulang.

Kegigihan pemuda tersebut berkongsi video perjalanannya ke Semenanjung dan berjalan-jalan sekitar Kuala Lumpur dalam masa satu hari sahaja, membuatkan ramai terhibur.

Mana tidaknya, dalam video itu lelaki tersebut memberitahu dia berlepas dari Kota Kinabalu ke Semenanjung dalam jam 12 malam.

Setibanya di lapangan terbang Kuala Lumpur, dia menuju ke  salah sebuah hotel di Bukit Bintang untuk berehat beberapa jam sebelum ‘check out’ semula.

Dia dan rakannya juga sempat membeli sebuah bag bagasi kosong untuk mengisi ruang bag itu dengan berpuluh-puluh biji roti Gardenia perisa jagung yang dibeli di lapangan terbang KLIA 2.

Tidak mahu melepaskan peluang, lelaki tersebut dengan hati girang memperlihatkan bagaimana dia memuatkan kesemua roti yang dibeli ke dalam bagasi yang dibeli khas untuk tujuan itu.

Malah, dia mendedahkan sebab berbuat sedemikian kerana roti itu bukan sahaja tidak dijual di sana malahan kalau ada yang menjual pun tersangatlah mahal.

Hantaran video itu telah ditonton lebih 1 juta kali dan ramai yang meluahkan rasa teruja melihat kesungguhan pemuda itu dalam mendapatkan roti itu dalam masa satu hari sahaja.

Ada juga memberitahu, bagi orang Sabah, roti Gardenia adalah cenderamata atau souvenir yang terbaik untuk keluarga di kampung.

“Roti Gardenia adalah souvenir yang terbaik! Setiap kali ada kerja di Sabah, Sarawak atau Labuan memang akan bawa satu bag bagasi penuh gardenia. Kebiasaannya beli perisa jagung dan ikan bilis + pandan,” kata salah orang pengguna TikTok.

Baca juga: Gaji tertunggak hampir setahun, pemain Kedah Darul Aman terima sumbangan Aidilfitri