Pahit hidup pernah dirasai, Harun Hashim kenang arwah isteri yang setia saat tiada apa-apa

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun sudah tujuh bulan kehilangan orang tersayang, pelakon Harun Hashim hingga kini masih kerap menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Sakinah Ganjali.

Pelakon berusia 69 tahun itu masih bergelut memujuk hati untuk merelakan pemergian isteri tercinta yang meninggal dunia akibat kanser payu dara.

Kehilangan itu dirasakan begitu besar kerana arwah bukan sahaja suri hidup, tetapi juga peneman setia dan penunjuk jalan dalam hidupnya lapor Kosmo! Online.

“Sampai sekarang saya masih memujuk hati merelakan pemergian arwah tetapi perasaan rindu selalu hadir kerana isteri yang selalu temani saya dan menjadi penunjuk jalan disebabkan masalah penglihatan saya.

“Dia yang menjadi pemandu arah, arwahlah yang ikut waze. Jadi apabila naik sahaja kereta, mesti kenangan semakin kuat.

“Tambahan pula dahulu kalau arwah dalam kesakitan, saya akan membawanya berpusing ke merata tempat bagi meredakan kesakitannya dan kami hanya pulang sebelum subuh.

“Semua memori masih terakam kemas dalam ingatan terutama ketika dia meraung kesakitan dalam kereta. Itu saya tak boleh lupa. Kehilangan arwah bagai membawa separuh nyawa saya.

“Pengorbanan dia menjaga saya ketika tidak mampu bekerja dahulu sangat besar,” katanya ketika sperti dipetik Kosmo! Online.

Pernah menghidap penyakit kira-kira 10 tahun lalu, Harun berkongsi pernah satu ketika dia tiada pekerjaan, isterinya kekal setia mencari tin kosong demi kelangsungan hidup.

“Kalau nak cerita kehidupan yang kami lalui memang sukar tetapi kami enggan susahkan sesiapa termasuk anak-anak.

“Jadi apabila ada kudrat, saya dan isteri keluar cari tin dan jual, dapatlah duit sikit. Waktu itu tiada tawaran berlakon, saya sakit siapa nak bagi kerja. Alhamdulillah, Sakinah tidak tinggalkan saya dan YouTube kami pun ramai tengok.

“Cuma hasilnya tak seberapa sebab apabila orang lain upload semula video kami, mereka yang raih tontotan tinggi.

“Kami berhenti buat video dan beberapa tahun kebelakangan ini baru saya dapat ‘job’ tapi susah pula bergerak sebab mata saya pula kabur. Tak boleh jalani pembedahan sebab penyakit darah tinggi saya,” ujarnya.

Baca juga: Syed Saddiq terharu dipuji anak Bella Astillah, tahan sebak cerita tentang Ayden