Paip injap sudah usang, diguna sejak 1994 kata Amirudin

Oleh KIM SYAZIE

Susulan berlaku gangguan bekalan air di Selangor, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa paip injap yang telah usang menyebabkan kerja-kerja penyelenggaraan terpaksa dilakukan.

Menerusi ciapan di Twitternya semalam, beliau berkata paip injap yang usang itu perlu diganti kerana telah digunakan sejak tahun 1994 dan kini sudah berusia 27 tahun.

Paip injap berusia 27 tahun

“Sebab utama kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan demi keselesaan rakyat di masa depan,” ciapnya.

Kerja-kerja pnyelenggaran tersebut menyebabkan penduduk di 998 kawasan sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air.

Bagaimanapun Amirudin menjelaskan, paip tersebut perlu ditukar bagi mengelakkan kebocoran dan gangguan bekalan air kepada pengguna di masa akan datang.

“Ini adalah antara paip injap yang telah ditukar semasa kerja-kerja penyelenggaraan.

“Ia telah berusia 27 tahun dan harus ditukar bagi mengelakkan kebocoran dan gangguan bekalan air kepada pengguna. Kerja-kerja yang dilaksanakan adalah bagi memastikan keselesaan di masa hadapan,” ciapnya dalam hantaran lain.

Terdahulu, kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dimulakan jam 9 pagi semalam mengikut jadual.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, penyenggaraan aset utama ini dijangka siap pada jam 11 malam semalam.

Bekalan air juga dimaklumkan akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula jam 5 petang 14 Oktober (hari ini), setelah sistem bekalan air telah distabilkan.