Pakar gesa kerajaan beri pendidikan, latihan kepada penduduk di zon berisiko gempa bumi

Oleh ARIF ATAN

Gempa bumi di Indonesia turut menyebabkan Malaysia tidak terlepas daripada ancaman sama termasuk tsunami kerana berkongsikan pelantar yang sama.

Rata-rata pakar dan ahli geologi berkata, negara ini tidak terlepas daripada ancaman gempa bumi dan tsunami ekoran kedudukan Malaysia yang berdekatan dengan zon aktif pertembungan plat bumi.

Pengarah Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata, kerajaan perlu melakukan pengezonan kawasan yang berisiko dengan bencana alam itu.

“Sebab ramai orang tidak tahu. Selepas itu rangka dasar dan pendidikan sesuai kepada rakyat.

Edy Tonnizam

“Penduduk tinggal di sekitar kawasan berisiko tinggi ini perlu diberikan pendidikan, pemahaman, latihan amaran bencana,” katanya pada forum Gempa Bumi dan Tsunami: Terselamatkah Malaysia anjuran Sinar Harian baru-baru ini.

Sehubungan itu, Edy mengingatkan lokasi terbabit perlu dielakkan dengan projek pembangunan.

“Ini terletak di bahu pihak berkuasa seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi dan beberapa jabatan berkaitan,” ujarnya.

Beliau mengingatkan gempa bumi di Indonesia turut memberi kesan terhadap Malaysia memandangkan negara ini berkongsi pelantar dengan republik itu.

“Tujahan dari pelantar di bahagian Barat Sumatera itu akan memberi kesan terhadap bumi Malaysia,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pakar gempa bumi dan tsunami, Datuk Dr Mohd Rosaidi Che Abas berkata, tekanan terhadap garis sesar sedia ada bertukar menjadi aktif selepas gempa kuat melanda Acheh.

Akibatnya, beliau berkata, beberapa tempat di Semenanjung turut bergegar dengan magnitud kecil seperti Bukit Tinggi, Jerantut dan Temerloh di Pahang, Kuala Pilah di Negeri Sembilan dan Manjung, Perak.

Walau bagaimanapun pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Mustaffa Kamal Shuib (gambar) memberitahu Sabah menjadi negeri paling berisiko tinggi mengalami gempa memandangkan terdapat banyak titik gempa di Ranau, Kundasang, Tawau, Gunung Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu.

Menurutnya, Sabah dihimpit daripada arah selatan dan timur utara kerana terletak berhampiran zon pertembungan plat-plat di Sulawesi, Indonesia serta Filipina.

“Kita berjaya mengenal pasti beberapa sesar di kawasan terbabit yang bakal menjadi punca gempa bumi pada masa akan datang.

“Namun kalau melihat kedudukan geografi Semenanjung, ia berada agak jauh daripada zon aktif pertembungan antara plat yang menghasilkan gempa bumi kerana Semenanjung berada di pinggir kawasan zon gempa dan kesannya amat lemah,” dipetik dari Utusan Malaysia.

Mustaffa berkata, gempa bumi berukuran 5.9 skala Richter di Gunung Kinabalu pada 2015 sehingga mengakibatkan 17 kematian ekoran tanah runtuh akan membentuk kesan susulan seperti batuan tidak stabil terutamanya di kawasan cerun.

“Maka kejadian tanah runtuh boleh terjadi pada masa akan datang sehingga mengorbankan nyawa,” tegasnya.

Beliau juga memberitahu Sabah boleh mengalami gempa bermagnitud sederhana dan pantai timur negeri itu pula berisiko ancaman tsunami susulan beberapa bencana alam baru-baru ini termasuk tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Mengulas tentang risiko gempa bumi di Semenanjung, Mustaffa berkata, lebih 30 titik gempa di Bukit Tinggi, Pahang wujud disebabkan kehadiran sesar aktif yang dinamakan sesar Bukit Tinggi malah pernah menghasilkan gempa berskala kecil sekali gus mengakibatkan sesar-sesar besar dan lama diaktifkan semula.

“Sementara itu, kawasan di pantai Barat Daya dari Perlis hingga ke utara Perak pula terdedah dengan ancaman tsunami, tetapi pihak berkuasa mengambil langkah memasang alat penggera bagi memastikan amaran dapat dikeluarkan kepada penduduk berisiko,” jelasnya.

Malah, dalam satu paparan rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Za’im Aziz, pensyarah berkenaan berkata, Malaysia telah termasuk dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik dengan kehadiran titik-titik gempa.

Antaranya, jelas beliau, di Temenggor, Perak mempunyai enam titik gempa bermagnitud 2.0 hingga 3.8.

Menurutnya, hal itu berlaku sejak 2009 hingga 2014 dengan titik-titik gempa tersebut berada dalam zon sesar.

“Apa yang berlaku berjuta-juta tahun dahulu telah diaktifkan semula,” tegas Mustaffa lagi.