Satu hantaran di platform media sosial menjadi perbincangan hangat kerana membandingkan gaji graduan universiti sebanyak RM2,500 sebulan, dengan pencipta kandungan di TikTok yang mampu memperoleh jumlah sama dalam tempoh seminggu.
Perkongsian di platform Threads itu menimbulkan perdebatan ramai selepas mempersoalkan adakah sistem pendidikan negara masih lagi relevan.
“Belajar empat tahun, kerja gaji RM2,500. Budak TikTok buat RM2,500 dalam masa seminggu. Actually, sistem pendidikan kita masih relevan ke nowadays?,” tulis hantaran yang dimuat naik seorang pengguna.
Menjawab persoalan tersebut, pakar kewangan, Azizul Azli Ahmad, tampil memberikan penjelasan panjang lebar mengenai mengapa perbandingan sebegitu tidak wajar dibuat.
Menurut Azizul, pendapatan dari platform digital seperti TikTok dan Facebook boleh berubah-ubah dan tidak menjanjikan kestabilan jangka panjang.
“Pendidikan membentuk pemikiran, nilai, disiplin, dan kemahiran hidup jangka panjang. Ia bukan kilang cetak duit segera, tetapi pelaburan untuk kestabilan intelektual dan sosial sepanjang hayat.
“Content creator mungkin ‘viral’ seminggu, tenggelam minggu berikutnya. Kerjaya berasaskan ilmu pula lebih stabil dan dinilai berdasarkan kepakaran,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal sumbangan sosial antara golongan profesional seperti guru, jurutera, doktor dan arkitek yang memberi impak langsung kepada pembangunan masyarakat berbanding kandungan hiburan yang bersifat sementara.
Tambah beliau lagi, setiap individu mempunyai rezeki dan jalan hidup yang berbeza, dan tidak wajar membandingkan laluan akademik dengan laluan hiburan atau perniagaan secara langsung.
“TikTok mungkin platform untuk pendapatan, tapi tanpa ilmu, creator juga boleh tersasar atau terperangkap dalam trend yang tidak sihat,” ujarnya.
Azizul turut memberi peringatan bahawa ilmu membuka lebih banyak pintu dan menjadikan seseorang lebih bijak serta bertanggungjawab, termasuk dalam dunia penciptaan kandungan.
“Jangan bandingkan ilmu dengan duit, sebab duit boleh habis, tapi ilmu buat orang tahu cara cari rezeki selamanya,” ujarnya lagi.
Baca juga: “22 tahun aku jadi menantu, mak mentua tetap anggap aku orang luar”