Pada 2022, seorang pakar kewangan menyarankan pekerja di dalam sektor ekonomi gig untuk bersedia dengan ‘exit plan’ bagi berdepan dengan kemelesetan ekonomi.
Menurut Dr Azizul Azli Ahmad, era ekonomi gig tidak akan bertahan lama memandangkan para penghantar makanan kini sudah mula berdepan dengan situasi sukar apabila pendapatan lumayan yang diperoleh satu ketika dahulu tidak lagi sama seperti hari ini.
Difahamkan, ekoran jumlah penghantar makanan yang semakin bertambah, ramai yang mengeluh sukar memperoleh walau hanya RM100 biarpun sudah bekerja selama 12 jam.
Melihat perkara ini, Dr Azizul berkata, apabila ekonomi semakin perlahan, pengguna akan mula berjimat cermat dan tempahan makanan akan mula berkurangan.
“Era gig economi ini tidak akan bertahan lama. Akan sampai masanya ia berakhir. Selepas ini akan berperang dengan era IR 4.0 pula. Semua benda robot ambil alih.
“Jika ini (gig) punca utama pendapatan kita, perlu bersedia dengan exit plan. Jadikan pendapatan sambilan tidak mengapa.
“Buat duit banyak-banyak dan cepat-cepat. Jangan lupa simpan waktu dapat duit banyak. Langit tak selalunya cerah. Bila ekonomi perlahan, permintaan tempahan makanan juga akan berkurangan.
“Pengguna akan jimat 30 peratus dari kos makanan,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Justeru, beliau menyarankan agar mereka yang masih muda untuk melanjutkan pengajian dan menambah ilmu di dada supaya golongan belia boleh kekal bernilai sepanjang masa.
“Beberapa negara maju dah mula gunakan drone untuk penghantaran makanan mereka. Kita perlu bersedia anak muda,” tambahnya lagi.
Baca juga: Harga telur mahal sangat, ladang di Amerika Syarikat tawar sewa ayam telur kepada penduduk