Pakatan Harapan bertanding di semua kerusi ditandingi BN Sarawak

Oleh BORHAN AHMAD

Pengarah Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Hatta Ramli berkata, Pakatan Harapan akan mengagihkan kerusi dengan adil mengikut potensi dimiliki Amanah, DAP dan PKR.

“Amanah dan Pakatan Harapan tak mahu mana-mana kerusi di Sarawak dimenangi BN tanpa bertanding.

“Pakatan Harapan akan agihkannya seadil mungkin mengikut prestasi dan kekuatan parti-parti dan jentera supaya rakyat Sarawak ada alternatif.

“Pakatan Harapan akan menajdi alternatif kepada BN yang sedang melalui proses hilang percaya rakyat,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah, Kuala Lumpur hari ini.

Hatta juga berkata, Pakatan Harapan akan bermesyuarat pada esok bagi membincangkan pengaguhan kerusi.

“Esok akan ada perbincangan mengenai pembahagian kerusi di peringkat nasional. Saya belum pasti kita akan membuat pengumuman tetapi kita akan mencapai kata sepakat supaya kita tidak menghadapi pertembungan kerusi,” katanya.

Menurut beliau juga, pembahagian kerusi di Sarawak sudah di peringkat akhir.

Ditanya sama ada Amanah telah menetapkan calon di kawasan boleh menang, beliau yakin mempunyai calon yang berpotensi namun tidak mahu mendahului Pakatan Harapan dalam membuat pengumuman.

“Kita akan bertanding kerusi yang kita rasa kita mampu menang sebagai parti baharu di kawasan yang ada potensi setelah berbincang dengan Pakatan Harapan tetapi saya tak ingin mendahului Pakatan Harapan membuat pengumuman,” katanya.

Amanah sebelum ini berkata, parti itu akan meletakkan calon bukan Islam dari kalangan ahli parti bagi mewakili kaum pribumi Sarawak.

Dewan Undangan Negeri (Dun) akan tamat tempoh pada Jun tahun ini.