Majlis Presiden Pakatan Harapan menyokong program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada 27 Ogos di Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan bersama majlis presiden menggesa agar seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran turun beramai-ramai untuk menyokong program ini.
“Kami yakin dan percaya bahawa usaha anak muda dan mahasiswa ini akan mendatangkan hasil positif dalam menyelesaikan misteri “Malaysian Official 1”.
“Majlis Presiden Pakatan Harapan juga membantah sekeras-kerasnya tindakan intimidasi dan menakut-nakutkan oleh pihak berkuasa terhadap penganjur dan penyokong program ini, termasuk tindakan reman tiga hari ke atas tiga aktivis mahasiswa yang membuat roadshow #TangkapMO1.”
Kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan terdiri daripada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Menurut kenyataan itu majlis presiden memandang serius isu laporan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat berkaitan dakwaan kecurian berbilion ringgit wang rakyat oleh individu-individu berkait rapat dengan “Malaysian Official 1” (MO1), serta kes kemasukan USD731 juta ke dalam akaun bank peribadi “MO1”.
Pada masa yang sama, kenyataan-kenyataan bercanggah di kalangan anggota Kabinet mengenai identiti MO1 serta keengganan pihak berkuasa termasuk pihak PDRM untuk mengenalpasti MO1 cukup merisaukan serta menjejas integriti pentadbiran kerajaan kerana dakwaan-dakwaan yang cukup serius terus tidak terjawab.
“Dalam sejarah negara malah juga dunia, apabila berlaku krisis kepimpinan atau kesusahan nasional, sekiranya golongan-golongan lain dalam masyarakat berdiam diri atau keliru, lazimnya anak muda dan mahasiswa lah yang mara mencetuskan angin kesedaran dan kebangkitan ke arah perubahan positif,” ujar kenyataan tersebut.