Apa yang dibangga?
Terbaca suatu hantaran bahawa hari ini kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Sanusi telah dianugerahkan Sijil Bersih Kewangan di Wisma Darul Aman setelah pengauditan dijalankan mengikut Akta Audit dan Piawaian Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (ISSAI).
Katanya lagi ini menunjukkan penyata kewangan kerajaan negeri Kedah terbukti bersih dan saksama.
Bahkan ianya selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957, Piawaian Perakaunan Kerajaan Malaysia dan International Public Accounting Standard.
Pertama sekali, tahniah kerana berjaya menerima sijil. Memang patut dibanggakan, tetapi untuk apa dibangga dengan sijil jika hidup rakyat secara amnya masih sama.
Umpama mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi tidak bekerja. Boleh makan ke sijil tu?
Ya, sijil cemerlang adalah tanda aras sesuatu perkara. Dalam konteks ini, ianya tanda aras bahawa kewangan negeri dijaga dengan baik. Mungkin tiada langsung ketirisan atau ada tetapi masih boleh dikira bersih.
Apa pun yang lebih utama ialah bukan bagaimana akaun atau kewangan dijaga tetapi bagaimana wang negeri dibelanja.
Adakah rakyat Kedah mendapat manfaat daripada peruntukkan Kerajaan Negeri?
Apakah yang dibelanjakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.?
Setakat hari ini yang nyata rata-rata rakyat masih bergelut pasca pandemik. Ada lagi yang kais pagi makan pagi sedang pimpinan negeri bergaya dengan kereta baru dan berhibur sakan di atas kapal sewaan peribadi.
Mangsa banjir di Yan dan terbaru di Baling masih terkapai-kapai mengharap bantuan, pembelaan dan kepastian keselamatan mereka.
Tak apa, sijil bersih boleh bantu.
Tuan-tuan, akaun kita bersih. Tak tiris langsung.
Boleh jadi lah sebab belanja pun tidak. Duit simpan elok-elok dalam tabung buluh tak pernah buka, memang lah bersih tapi anak-anak makan nasi dengan garam macam MB kecik-kecik dulu. Bangga sungguh.