Sebuah badan yang melindung pemberi maklumat iaitu National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan sokongan empat Ahli Parlimen pembangkang menuntut agar kerajaan melakukan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protecton Act 2010).
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, ini perlu dilakukan bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat dalam membentuk sebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti di samping menjamin hak perlindungan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam.
Menurutnya, pendedahan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) merupakan salah satu contoh terbaik amalan pemberian maklumat di peringkat antarabangsa yang membongkarkan kekayaan yang berkemungkinan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia.
Justeru, beliau mencadangkan agar pindaan dibuat berteraskan tiga aspek antaranya menjamin hak perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat.
“Kedua, memperkasa peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Sebagai contoh, pendedahan maklumat kepada pihak media.
“Akhir sekali, menjamin imuniti dan kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 daripada undang-undang lain yang berkaitan seperti OSA,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau memaklumkan, beliau bersama Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Yunus, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii menyokong tuntutan agar pindaan akta itu dilaksanakan.
Pada masa yang sama Akmal berkata, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pemberian maklumat, pertubuhan NOW telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah buku panduan dwibahasa yang bertajuk Whistleblowing Practices: A handbook guide.
Buku itu antaranya mengandungi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemberi maklumat, contoh-contoh kes pemberian maklumat yang pernah berlaku di Malaysia, perbincangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) dan perbandingan dengan akta yang diguna pakai di negara-negara luar, serta yang paling utama adalah cara-cara untuk memberikan maklumat (whislteblow) dalam konteks undang-undang di Malaysia.
Buku panduan itu katanya akan diedarkan kepada pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, organisasi-organisasi anak muda dan juga kumpulan media bagi menggerakkan usaha secara kolektif untuk menuntut perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat.