Semakin banyak warga asing terlalu selesa berada di Malaysia malah ada yang dilihat melanggar undang-undang meskipun sudah bertahun tinggal di negara ini.
Seorang lelaki warga China dikenakan tindakan saman selepas memandu kereta Lamborghini tanpa lesen dalam sekatan jalan raya di Jalan Bangsar lapor Harian Metro.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Hamidi Adam, lelaki tersebut bagaimanapun tidak ditahan kerana ada dokumen perjalanan yang sah.
Lelaki yang juga seorang pencipta kandungan itu mengemukakan pasport miliknya kepada pegawai terbabit dan mendakwa sudah menetap di negara ini sejak tujuh tahun lalu.
Kenderaan mewah itu juga tidak disita kerana pemiliknya memiliki lesen memandu yang sah serta hadir ke lokasi ketika operasi dijalankan.
“Saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.
“Apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.
“Pemilik terbabit disaman atas kesalahan membenarkan pemandu yang tidak memiliki lesen yang sah menggunakan kenderaan berkenaan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Baca juga: Gara-gara ramai berhijrah keluar, kampung di Perak ini tinggal 10 penghuni sahaja