Jawatan Ketua Menteri Sarawak kini dipanggil ‘Premier’ selepas diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini telah secara rasmi berkuat kuasa hari ini.
Menurut, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, berikutan pindaan tersebut telah diwartakan, Ketua Menteri akan disebut “Premier of Sarawak” dalam bahasa Inggeris manakala dalam Bahasa Malaysia sebagai “Premier Sarawak”.
Manakala , bagi istilah Pejabat Ketua Menteri katanya akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai “Office of the Premier Sarawak” dan dalam Bahasa Malaysia sebagai “Pejabat Premier Sarawak.
“Bagi istilah Timbalan Ketua Menteri akan dirujuk sebagai Timbalan Premier sementara Menteri Muda sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa tarikh yang sama,” jelas beliau dalam satu kenyataan media di Kuching hari ini.
Terdahulu, DUN Sarawak pada 15 Februari lalu telah meluluskan beberapa pindaan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak dan antara pindaan itu ialah penukaran istilah Ketua Menteri kepada “Premier”.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri (Pindaan) 2022 itu diluluskan selepas mendapat sokongan 67 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diikuti enam ADUN membantah dengan 16 ADUN membahaskan RUU berkenaan.