Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, maki hamun, tabur fitnah – Agong

Oleh MALAYSIADATELINE

Jika dilihat ada sahaja drama di antara pemimpin setiap kali sidang Parlimen berlangsung, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Disebabakan itu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi peringatan buat semua wakil rakyat lapor Kosmo! Online.

Baginda bertitah bahawa Parlimen bukan satu tempat untuk wakil rakyat bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah.

“Parlimen adalah dewan perhimpunan yang paling utama dalam sistem negara kita. Inilah gelanggang pertemuan suara rakyat jelata. Tempat undang-undang digubal dan medan semak dan imbang.

“Parlimen bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat,” titah baginda.

Itulah titah baginda pada ucapan perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong menitahkan setiap Ahli Parlimen menghentikan tindakan bermain politik terhadap setiap isu.

“Saya perhatikan dalam persidangan dewan tahun lepas, ahli dewan telah banyak berubah dan menunjukkan sikap yang lebih sopan.

“Tahniah kepada semua, namun begitu ada juga segelintir suka membuat tabiat lama.

“Tidak perlu saya senaraikan perangai buruk tersebut sebab saya percaya setiap ahli (Parlimen) sedar dan tahu untuk jaga tingkah laku masing-masing,” titah baginda.

Baca juga: Lagu Negaraku pun pernah kena ‘claim’ dengan Indonesia