Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menganggap persidangan Dewan Rakyat minggu hadapan hanyalah untuk mengaburi mata rakyat bagi menunjukkan seolah-olah kerajaan mematuhi arahan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, persidangan itu bukanlah sidang Parlimen seperti yang sepatutnya, sebaliknya hanyalah sesi taklimat bagi mendengar penjelasan menteri-menteri.
Beliau menganggap tindakan kerajaan itu tidak lain seperti pembohongan kepada rakyat.
“Ini bukan sesi Parlimen. Ini sesi penerangan. Dia diadakan semata-mata untuk membohongi rakyat bahawa (kerajaan) mengikut kehendak Agong supaya diadakan persidangan.
“Maka mereka mengadakan majlis taklimat berkenaan apa yang dilakukan kerajaan. Ini menunjukkan jelas kerajaan tidak ikhlas. Dia tahu bahawa ini bukan persidangan Dewan tapi dia cuba menunjukkan kononnya ini persidangan mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong.
“Pejuang anggap ini satu pembohongan dan kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu sidang akhbar Pejuang di Facebooknya malam tadi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Pejuang akan membuat keputusan sama ada akan hadir atau tidak dalam sesi persidangan tersebut.
Bagaimanapun keputusan setakat ini katanya, Pejuang akan menghadirkan diri tetapi mereka akan melihat sama ada sesi tersebut membawa manfaat kepada rakyat atau pun tidak.