Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat kali ini akan dijawab Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul sebelum sesi berkenaan pada hari kedua Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.
“Ini bermaksud Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan menjawab tiga soalan (Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri) dan ia bermula, pada hari ini.
“Sementara MQT pada setiap Khamis akan dijawab oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri. Pemakluman akan dibuat jika terdapat sebarang perubahan pada peraturan itu,” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam hantaran di Facebooknya berkata beliau akan menjawab soalan Ahli-Ahli Parlimen dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat buat pertama kali hari ini.
–BERNAMA
Baca juga : Titah Agong mesej jelas kepada ahli politik agar serius urus negara, pelihara perpaduan