Parti politik Thailand dilarang guna TikTok untuk sebar berita palsu

Oleh KIM SYAZIE

TikTok menjadi landasan buat anak muda mendapatkan informasi disamping melihat video kelakar yang mencuit hati.

Namun tindakan sesetengah pihak telah menyalahgunakan landasan tersebut untuk menyebar kebencian.

DIsebabkan itu, parti-parti politik di Thailand dihalang menggunakan aplikasi TikTok untuk sebar berita palsu lapor The Nation Thailand.

Chanida Klyphun iaitu Ketua Dasar Awam TikTok Thailand, memberitahu pemberita semalam bahawa TikTok adalah platform hiburan.

Justeru, syarikat aplikasi tersebut melindungi para pengguna TikTok daripada ucapan kebencian dan berat sebelah yang dicetuskan oleh konflik politik.

Beliau menambah, syarikat itu telah menetapkan prosedur untuk menghalang parti politik daripada menyebarkan berita palsu, membina sokongan atau keuntungan daripada pengiklanan.

Tetapi aplikasi itu tidak akan menghalang kelab peminat parti politik daripada mencipta kandungan bagi menghormati kebebasan bersuara.

Platform itu juga merancang untuk melancarkan ‘pusat pilihan raya’ sebulan sebelum kempen politik bermula.

Ia akan membantu para pengguna mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai tentang proses pengundian, calon dan topik lain yang berkaitan.

“Selepas pilihan raya di Malaysia dan Filipina, kami mengetahui bahawa orang ramai tidak mengetahui medium dan langkah ini.

“Jadi, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai menjelang pilihan raya Thailand,” kata Chanida.

Baca juga: Wanita tak mahu ‘join loan’ dengan bapa, terus kena cop anak tak guna