Parti politik tidak patut campur tangan dalam organisasi media – PH

Oleh KIM SYAZIE

Pakatan Harapan berpendirian bahawa parti-parti politik tidak sepatutnya mencampuri urusan organisasi media susulan dakwaan wujud gangguan parti politik terhadap entiti tersebut.

Perkara itu dikaitkan dengan dakwaan bahawa pelantikan Farrah Naz Karim sebagai pengarang kumpulan akhbar bahasa Inggeris iaitu News Straits Times (NST) dibuat atas campur tangan politik.

“Ini petanda tidak baik terhadap tanggapan kebebasan pelaporan serta agenda politik organisasi media tersebut kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tidak akan pernah mengganggu kebebasan berakhbar, namun PH melihat bahawa realitinya indah khabar dari rupa.

PH berkata pihaknya kesal dengan tindakan pihak kerajaan melalui Timbalan Pendakwa Raya yang telah mendakwa dua pengamal media dari akhbar The Edge di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu jenayah fitnah.

“Dakwaan ini berkait siri artikel yang diterbit The Edge berhubung jual beli saham murah (penny stock) yang dipercayai dimanipulasi pihak-pihak tertentu di Bursa Malaysia.

“Kami menuntut kerajaan untuk menarik balik dakwaan jenayah ini, dan jika pihak-pihak yang terkesan punyai keinginan mereka boleh memfailkan saman sivil terhadap media tersebut.

“Media memainkan peranan yang amat penting terutama dalam usaha semak imbang dan menjamin ketelusan urus tadbir, termasuk dalam bidang ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad; Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching; dan Ketua Penerangan UPKO, Joisin Romut.

Dalam pada itu PH berkata, jaminan perdana menteri perlu dizahirkan bukan sahaja di bibir, tetapi melalui tindakan-tindakan yang selaras dengan jaminan tersebut.

Baca juga: Lepas Selangor, Yang Dipertua Pulau Pinang pula tarik darjah kebesaran Najib

Baca juga: Naik jejambat tiba-tiba dia ‘recalculating’, ini padahnya bila pembuat dasar terlalu ‘car centric’ bukan ‘people centric’