Parti Golkar tinggalan Soeharto di hujung senja?

Oleh BORHAN AHMAD

Suatu ketika parti Golongan Karyawan atau singkatannya Golkar adalah sebuah parti politik Indonesia yang tersohor dan menjadi parti pemerintah yang terkuat di Indonesia.

Parti berlambang pohon beringin itu menerajui tampuk pemerintahan selama 32 tahun sejak presiden Soeharto mengambilalih pucuk pimpinan dalam zaman yang
lebih dikenali sebagai zaman Orde Baru.

Kekentalan Golkar pertama kalinya diuji ketika reformasi politik pada tahun 1998 dan terbukti “pohon beringin” tidak tumbang walaupun gerakan mahasiswa cuba mengugatnya dan mahu ia dibubarkan.

Setelah Presiden Soeharto meletak jawatan kerana kebangkitan rakyat di negara itu, kepimpinan negara bertukar tangan kepada seorang lagi pemimpin Golkar iaitu Bacharuddin Jusuf Habibie sebagai presiden Republik Indonesia yang ke-3.

Dalam Pemilihan Umum Presiden dan Naib Presiden yang pertama pada 2004, rakyat telah memilih parti lain untuk menerajui negara dan Abdul Rahman Wahid atau Gus Dur daripada Parti Kebangkitan Bangsa dilantik sebagai Presiden Republik Indonesia ke-4.

Jangkaan Golkar akan “berkubur” ketika itu ternyata meleset apabila masih ramai calon parti berkenaan memenangi pilihan raya umum (Pemilu) bagi menduduki kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Sebelum itu jawatan presiden dan naib presiden dipilih oleh Majlis Permusyawaratan Rakyat dan bukannya dipilih terus oleh rakyat.

Kini, setelah berusia 52 tahun, “pohon beringin” itu bergoyang dan akar umbinya mula kacau bilau.

Seorang pensyarah komunikasi dari Institut Agama Islam Negeri Langsa, Aceh Zulkarnian Abdul Karim berkata Golkar kini bukan sekadar ibarat retak menanti belah, malah ibarat belah menanti hancur.

Golkar, katanya, menghadapi krisis politik dalaman yang parah dan jika dibiarkan berterusan parti itu menghadapi dua kemungkinan; iaitu sama ada ia diharamkan oleh kerajaan kerana tidak mempunyai pemimpin yang sah atau kalah teruk dalam Pemilu kerana tidak mendapat sokongan sesama anggota parti
sendiri.

BERMULANYA KONFLIK

Aburizal Bakrie kiri dan Agung LaksonoMengungkap konflik yang berlaku, ia bermula sejak proses Pemilihan Umum Presiden dan Naib Presiden Republik Indonesia 2014.

Kepimpinan Golkar telah memberi mandat kepada Aburizal Bakrie yang juga Ketua Umum parti itu bertanding bagi merebut jawatan presiden atau naib presiden dan diberi kebebasan untuk mencari sokongan daripada mana-mana parti politik lain.

Bagaimanapun, setelah menawarkan diri, pencalonan Aburizal tidak mendapat sokongan daripada parti-parti politik lain. Dua ahli politik yang popular untuk merebut jawatan presiden ialah Prabowo Subianto daripada parti Gerindra dan Joko Widodo daripada parti PDI-P menjadi pilihan parti-parti politik lain.

Prabowo berganding dengan Hatta Rajasa sebagai calon naib presiden manakala Joko atau lebih dikenali sebagai Jokowi pula berpasangan dengan Jusuf Kalla yang juga bekas ketua umum Golkar.

Kerana tidak berpeluang untuk berentap dalam gelanggang pilihan raya itu, Aburizal membuat keputusan menjadi penyokong dan mengisytihar partinya menyertai Koalisi Merah Putih iaitu gabungan parti-parti politik yang menyokong pasangan Prabowo-Hatta.

Tindakan Aburizal tidak disenangi oleh sekumpulan kepemimpinan parti kerana mereka tidak pernah memberi mandat kepadanya untuk membuat keputusan
menyokong mana-mana calon atau parti lain kecuali untuk bertanding mewakili Golkar dalam pilihan raya berkenaan.

Disebabkan itu, terdapat anggota kepimpinan tertinggi dan pengurusan parti secara terbuka pula menyokong Jokowi atas alasan pasangan naib presidennya
iaitu Jusuf Kalla adalah bekas ketua umum Golkar.

Mereka menyertai kempen satu lagi gabungan parti-parti politik yang menyokong Jokowi-Jusuf dan dikenali sebagai Koalisi Indonesia Hebat.

Keadaan masih terkawal kerana Aburizal berjanji tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota dan pemimpin parti yang tidak sehaluan
dengannya.

KONFLIK YANG BERTERUSAN

Dalam kesibukan parti berkempen menyokong calon presiden dan naib presiden, pemimpin dan anggota Golkar mula berpecah.

Aburizal menggesa golongan yang tidak sehaluan dengannnya supaya meletak jawatan masing-masing tetapi setelah gesaannya tidak dilayan, beliau mengambil tindakan drastik dengan memecat tiga orang kader parti iaitu Agus Gumiwang Kartasasmita, Nusron Wahid dan Poempida Hidayatullah.

Dalam masa yang sama, terdapat pihak yang menggesa supaya pemilihan kepimpinan parti dalam Mesyuwarah Nasional (Munas) diadakan segera kerana tempoh pemilihan lima tahun sekali telah tamat pada tahun 2014 dengan tahun terakhir Munas diadakan adalah pada 2009.

Aburizal kemudiannya bertindak pantas dengan menganjurkan Munas di Bali pada 2 Dis 2014 dan mengisytiharkan dirinya Ketua Umum Golkar yang menang tanpa
bertanding.

Naib Ketua Umum Golkar, Agung Laksono dengan sekumpulan anggota dan pemimpin parti pula tidak mengiktiraf Munas di Bali yang didakwa diadakan secara
terburu-buru dan menganjurkan Munas pada 6 Disember 2014 di Ancol dan beliau terpilih menjadi Ketua Umum Golkar yang baharu.

Kedua-dua pemimpin itu menyerahkan laporan Munas masing-masing kepada Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia pada hari yang sama iaitu 8 Desember
2014.

Maka sejak itu, terdapat dua puak kepimpinan parti iaitu Munas di Bali dipimpin oleh Aburizal yang lebih dikenali sebagai Ical manakala Munas di Ancol dipimpin oleh Agung Laksono.

Masing-masing tidak mahu berundur kerana kedua Munas mendakwa telah mengikut peraturan parti dan sah di sisi undang-undang.

BUNTU MENCARI PENYELESAIAN

Aburizal kemudiannya membawa kes itu ke Mahkamah Agung dan pada Oktober 2015 mahkamah memutuskan bahawa Munas Ancol anjuran Agung itu adalah terbatal dan tidak sah.

Keadaan bertukar keliru apabila Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia pula baru-baru ini memutuskan kedua-dua Munas adalah tidak sah atas alasan
mahkamah tidak berhujah mengenai status Munas Bali yang dianjurkan oleh Aburizal.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Yasonna Laoly dipetik sebagai berkata, tindakan itu sesuai dengan keputusan Mahkamah Agung yang tidak mengeluarkan
perintah untuk mengesahkan Munas Bali kubu pimpinan Aburizal.

Golkar pun kembali kepada status quo Munas Riau 2009 yang dipimpin Aburizal dengan Idrus Marham sebagai Setiausaha Agung dan Agung Laksono adalah Naib
Ketua Umum parti.

Beliau menggesa Golkar segera menyelesaikan konflik dalaman sebagai kaedah terbaik supaya parti itu tidak diharamkan oleh kerajaan kerana tiada pemimpin yang sah.

Agung Laksono kemudiannya membawa kes itu ke Mahkamah Parti Golkar kerana terdapat peruntukan pelembagaan parti supaya sesuatu masalah dalaman parti
boleh dibawa ke panel hakim dalaman parti.

Golkar kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Mahkamah Parti Golkar dan membuat keputusan supaya satu Pasukan Transisi
dibentuk bagi menyelesaikan sengketa yang berlaku.

Mahkamah Partai Golkar yang dianggotai empat panel hakim dan diketuai oleh Muladi mengarahkan agar satu pemilihan baharu diadakan sebelum Mac 2016. Ini
untuk menyatupadukan kembali semua anggota dan pemimpin Golkar dan melantik bekas ketua umum parti yang juga Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebagai
Ketua Transisi Partai Golkar.

Aburizal dan Agung juga diarah menganggotai pasukan transisi itu bagi berbincang dan menganjurkan Munas secara adil dan saksama.

PENYOKONG ENGGAN BEKERJASAMA

Bagaimanapun, para penyokong Aburizal dikatakan enggan bekerjasama dengan pasukan itu dan menyifatkan mahkamah telah membuat keputusan di luar bidang
kuasanya.

Seorang pemimpin pusat Nurdin Halid dipetik oleh media tempatan sebagai menyoal bidangkuasa keputusan Mahkamah membentuk pasukan transisi itu.

Sementara itu Agung dilaporkan menyambut baik keputusan mahkamah parti yang memerintahkan penyelenggaraan pemilihan parti secara bersama sebelum Mac
2016.

“Saya kira kami sambut gembira Mahkamah Partai Golkar sudah mendengarkan suara dari berbagai elemen Golkar bahwa masalah Golkar harus diselesaikan.
Satu-satunya cara terbaik melalui Munas bersama,” katanya seperti dipetik oleh media tempatan.

Aburizal pula dilaporkan sebagai berkata konflik parti itu hanya boleh diselesaikan melalui proses undang-undang dan bukannya perdamaian. Beliau juga mentafsirkan bahawa Mahkamah Agung telah mengesahkan Munas Bali.

Jusuf Kalla bagaimanapun memberi peringatan kepada semua pihak bahawa parti bukanlah milik individu dan boleh diuruskan secara sesuka hati.

Parti politik mempunyai perlembagaan dan semua pemimpin dan anggota parti harus akur dan sebarang tindakan hendaklah tertakluk kepada perlembagaan parti.

Kini, semua pihak tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya hanya mampu tunggu dan lihat.

___________________________________________  

RUANGAN SISI

SEJARAH GOLKAR

Soekarno kiri dan Soeharto.Secara ringkasnya, parti atau Partai Golkar ditubuhkan 20 Okt pada tahun 1964 dengan dianggotai oleh tujuh buah pertubuhan masyarakat termasuk golongan pekerja yang menamakan gerakan mereka sebagai Golongan Karya.

Penubuhan organisasi itu dikatakan mendapat sokongan kuasa barat ketika itu sebagai satu usaha untuk melawan kekuatan Parti Komunis Indonesia yang didakwa mula bekerjasama dengan presiden Soekarno.

Setelah berlaku pergolakan politik dan pertumpahan darah sesama rakyat Indonesia, Soekarno dikatakan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada Lt Jen Soeharto.

Suharto memegang kuasa eksekutif negara secara rasmi pada 11 Mac 1966 sebagai Presiden ke-2 Republik Indonesia dan pada 4 Feb 1970 Golongan Karya
pimpinan Djuhartono bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan nama parti Golkar dan lambang pohon beringin.

Golkar mendapat kemenangan besar dalam setiap kali pilihan raya selepas itu dan kekuatannya ialah mendapat sokongan penjawat awam kerana kononnya
mewajibkan semua penjawat awam untuk menyokong parti itu.

Bagaimanapun, gerakan reformasi oleh golongan mahasiswa pada 1998 telah membawa perubahan dalam politik Indonesia dan mereka menuntut pengunduran
Presiden Soeharto tetapi Golkar masih utuh.

Pada Oktober 2009, Aburizal Bakrie dilantik sebagai Ketua Umum parti bagi menggantikan Jusuf Kalla manakala Agung Laksono menjadi naib ketuanya.

Jusuf yang juga Naib Presiden Indonesia sekarang, melepaskan jawatan itu setelah memimpin Golkar selama lima tahun iaitu dari 2004 hingga 2009.