Pas dan Bersatu mengingatkan kerajaan persekutuan bahawa sokongan mereka terhadap kerajaan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan.
Peringatan itu salah satu daripada tujuh resolusi Muzakarah Pas Bersatu yang berlangsung di Shah Alam hari ini.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Md Yassin Pas dan Bersatu dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara, telah membuat ketetapan bersama iaitu mencapai persetujuan atas perkara yang disepakati antaranya mendukung ‘prinsip bersama’ di atas nilai integriti, kejujuran, kestabilan, dan perpaduan yang inklusif.
Di samping menuju visi dan halatuju bersama’ ke arah mengukuhkan Perikatan Nasional (PN), menolak budaya politik ekstrem, dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara
Pas Bersatu juga akan memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan Perpaduan Ummah dan Nasional merentasi platform bukan-politik, berteraskan nilai kepercayaan bersama (mutual trust) dan perkongsian saksama (equal partnership).
Katanya, Pas Bersatu menzahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.
Selain itu mereka mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan ‘undi penentu’ dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda, melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat.
“Memperkukuhkan jalinan kerjasama Pas dan Bersatu sebagai ‘satu pasukan’ sehingga peringkat jentera akar umbi dan memutuskan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai Perikatan Nasional,” katanya.