Pas merayu bantuan orang ramai untuk menyelesaikan baki kos guaman kes saman presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dalam satu rayuan terbukanya hari ini memberitahu, partinya memerlukan sebanyak RM400,000 lagi bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, bayaran itu harus diselesaikan dalam tempoh dua minggu daripada sekarang kepada peguam di United Kingdom (UK).
“Minta tolong sangat-sangat. Bantuan untuk bayaran guaman saman Sarawak Report. Perlu RM400,000 lagi. Dalam masa dua minggu mesti jelaskan kepada peguam di UK.
“Wang terkumpul sekarang RM69,000. Perlu lagi RM331,000. Sudah bayar hampir RM2.5 juta. Kempen sekurang-kurang RM10 seorang,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang berkenaan berkata, banyak lagi bil selepas ini sewaktu kes tersebut berjalan nanti.
Sebelum ini, Pas dilapor mula membuat pembayaran kepada peguam terbabit dalam mata wang Pound Sterling pada 30 November 2016 sehingga Jun 2018.
Kes tersebut berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Abdul Hadi menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Umno-BN.