PAS tidak berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum yang lepas kerana hanya berada ‘dalam blok’ mereka sahaja, kata Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.
Beliau berkata, PAS sedang berusaha menarik seramai mungkin pengundi dari parti lain termasuk ahli Umno.
“Dalam politik ini kita nak mendapatkan seramai mungkin penyokong. Sekarang ini pilihan raya beberapa kali dah, kita dalam blok kita sahaja tak dapat pun menawan Putrajaya.
“Kita mendekati semua pengundi dalam masyarakat. Tak kira pengundi Umno atau pengundi parti mana pun supaya mengetahui perjuangan, dakwah, hala tuju dan kerja buat kita,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Beliau menegaskan, PAS tidak pernah mengadakan kerjasama politik dengan Umno sebaliknya mahu menarik ahli Umno untuk bersama parti Islam itu.
“Kita tak ada langsung kerjasama politik (dengan Umno) cuma kita nak tarik orang Umno mari bersama dengan kita. Kalau kita tak dekat dengan mereka macam mana kita nak sampaikan maklumat.
“Mudah-mudahan mereka tahu kapal Umno dah nak pecah dia mari kepada kitalah.
“Takkan kita nak duduk dalam kerangka kita sahaja, sampai bila nak menang,” katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Beliau turut menegaskan, PAS akan tetap dengan dasar Islam yang dibawa walaupun bersikap terbuka kepada semua parti.
Katanya, selepas DAP tidak boleh menerima dasar PAS sehingga memaksa PAS memutuskan hubungan dengan parti itu, PAS mahu mengajak ahli Umno yang boleh menerima pendekatan PAS pula.
“Kita dengan dasar kita. Walaupun dengan kawan-kawan dulu kita berkawan dengan DAP kita kata dasar kita tak lari dari dasar perjuangan kita. Bila kita nak bawa (Islam) dia tak mahu berkawan dengan kita. Tak mahu berkawan sudahlah. Kita tetap dengan prinsip kita.
“Sekarang kita nak ajak pula orang Umno untuk bersama-sama dengan perjuangan kita, yang mana bersetuju dia mari kepada kita. Yang tak bersetuju terpulang pada dialah,” katanya.
Justeru katanya, PAS akan duduk di mana-mana pentas untuk menyampaikan dakwah.
“Tak timbul kerjasama politik cuma kita nak mengajak ke arah pendekatan PAS. Duduklah di forum-forum mana yang kita boleh sampaikan dakwah kita,” katanya.
Pada 17 Disember lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk sepentas dengan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak di majlis Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia.