Selepas PAS Perak memberikan kata dua kepada PKR, hari ini PAS Johor pula mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentukan sikap sama ada mahu bersama PAS atau Pakatan Harapan.
PAS Johor mengumumkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) dan semua kerusi Parlimen pada pilihanraya umum akan datang, jika PKR tidak mengadakan perbincangan dengan mereka mengenai peruntukan kerusi, lapor MStar hari ini.
PAS Johor juga menyatakan pendirian, mereka akan bertanding bagi kerusi milik DAP.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata mereka cuba untuk menghubunngi PKR mengenai pembahagian kerusi namun masih belum mendapat apa-apa jawapan.
“Saya tahu ia akan menjadi sukar jika kita bersendirian, tetapi tiada apa yang mustahil,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Johor Bahru sebagaimana dilaporkan laman berita itu.
Dalam pilihan raya lalu, PAS bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 21 kerusi DUN. PAS Johor hanya memenangi empat kerusi DUN .
Ditanya media sama ada akan berlaku kompromi dengan DAP pada saat akhir untuk mengelak pertandingan tiga penjuru, beliau berkata perkara itu adalah mustahil.
Semalam, Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Razman Zakaria mengumumkan parti itu akan bergerak bersendirian untuk menentang Umno tanpa rakan sekutunya DAP dan PKR dalam Pilihanraya Umum ke-14 .
Menurut beliau, PAS negeri juga tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah.
Beliau juga mengesa supaya PKR membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan parti Islam itu atau bertindak sebaliknya.
Sehingga kini PKR Perak masih tidak menyatakan sebarang pendirian.