Pas kecam hukuman mati ke atas Motiur Rahman Nizami

Oleh MALAYSIADATELINE

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang telah dijatuhkan ke atas Amir Jamaat-E-Islami Bangladesh, Maulana Motiur Rahman Nizami awal pagi tadi di Penjara Pusat Dhaka.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan dipetik di media rasmi parti itu berkata,  Pas melihat tindakan itu sebagai tindakan politik permusuhan dan balas dendam terhadap Jamaat-E-Islami Bangladesh dan pimpinannya.

“Pas mendoakan Jamaat-E-Islami Bangladesh serta seluruh kepimpinan dan ahlinya untuk terus tabah memperjuangkan Islam melalui saluran damai demokrasi demi untuk kesejahteraan Bangladesh dan seluruh rakyatnya.

“Pas juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Maulana Motiur Rahman Nizami atas hukuman yang telah dijatuhkan dan PAS juga mendoakan semoga Maulana Motiur Rahman Nizami dikurniakan syahid atas hukuman mati yang telah dikenakan ke atas beliau.” ujarnya.

Pas juga mendesak supaya Perdana Menteri Bangladesh Syeikh Hasena Wazed dari Liga Awami Bangladesh untuk menghentikan tindakan kejam dan tidak bertamadun yang dikenakan ke atas Jamaat-E-Islami Bangladesh dan pimpinannya dalam usaha untuk mengekalkan kuasa.

Motiur Rahman Nizami, 71, dihukum gantung jam 12.01 pagi tadi waktu tempatan di Penjara Pusat Dhaka selepas Mahkamah Agung Bangladesh menolak rayuan terakhirnya berhubung hukuman mati itu.

Sebelum itu, Mahkamah Jenayah Perang Bangladesh mendapati Motiur Rahman bersalah terhadap tuduhan membunuh, merogol dan mencuri ketika negara itu berperang menuntut kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971 ketika beliau mengetuai kumpulan militan.