PAS larang ahli sertai program dan aktiviti anjuran Amanah dan DAP

Oleh MALAYSIADATELINE

 

 

PAS telah menetapkan larangan penglibatan ahlinya dalam program dan aktiviti anjuran parti politik lain termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagaimana dimaklumkan Setiausaha  Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau  dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh akhbar rasmi parti itu petang ini, memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 8 Januari 2016 telah membincangkan isu berkaitan keterlibatan ahli PAS dalam program dan kegiatan parti-parti politik lain khususnya Amanah dan DAP.

“Sehubungan dengan itu, demi memelihara keutuhan dan perpaduan parti serta mengelakkan pelanggaran Perlembagaan dan Arahan Parti, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah membuat keputusan dan ketetapan,” ujar kenyataan itu.

Antara ketetapan itu adalah seperti berikut:
1. Ahli-ahli PAS dilarang mengambil bahagian, melibatkan diri, bekerjasama, memberi bantuan atau menyertai sebarang program atau aktiviti Amanah dan DAP di semua peringkat.

2.Ahli-ahli PAS perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebelum menghadiri sebarang jemputan program/aktiviti politik dan seumpamanya dari mana-mana parti politik lain (selain dari Amanah dan DAP yang dilarang terus sebagaimana (1) di atas).

3. Secara umumnya ahli PAS diperingatkan supaya tidak melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dan/atau berlawanan terutamanya dengan Fasal 16 dan 82, Perlembagaan PAS.

Sebagai rekod sebelum ini Adun Salor Datuk Husam Musa telah dijemput dalam satu majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan pada 1 Januari lalu di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Beliau dalam ucapannya berkata, kehadirannya itu  diharap dapat persetujuan daripada kepimpinan PAS pusat untuk menerima jemputan memberikan penerangan kepada penyokong Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.