PAS dilihat jauh lebih demokratik berbanding Umno jika timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilepaskan begitu sahaja selepas meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercuti sehingga kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai disiasat ketika PAS mahu bekerjasama dengan Umno.
Ini pandangan bekas Ketua Staf Am Markas Medan Tentera Darat, Brigedier Jeneral (B) Datuk Mohammad Arshad Mohammad Raji dalam satu tulisannya, ketika mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menuntut Najib bercuti ketika Umno dan PAS mahu bekerjasama.
Menurut Jeneral Arshad, kenyataan Tuan Ibrahim itu mengejutkan Umno khasnya Presiden Umno yang dilihat terlalu mahu bekerjasama dengan PAS.
“Kenyataan ini juga mungkin mengejutkan Setiausaha Agung PAS yang berkata PAS sedia memaafkan Umno yang selalu memberikan layanan tidak baik kepada PAS,” kata Arshad dalam tulisannya itu.
Arshad mengaku, beliau tidak tahu apakah kenyataan Tuan Ibrahim ini dibuat dengan persetujuan dan pengetahuan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Atau ia hanya pandangan pribadi terhadap respon baik yang diberikan oleh ramai pemimpin Umno terhadap sambutan baik yang diberikan Ustaz Hadi Awang untuk menerima salam Najib dan kerjasama,” katanya.
Bagi beliau, apa yang amat mengejutkan adalah desakan agar Najib meletakkan jawatan untuk membantu penyiasatan, satu kenyataan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin PAS sebelum ini, apatah lagi presiden parti.
“Jadi apa makna semua ini? Adakah ia adalah pandangan bertentangan antara timbalan presiden dengan presiden dan setiausaha agungnya,” soal Arshad.
Tuan Ibrahim dalam kenyataannya baru-baru ini mencadangkan agar Najib bercuti bagi membolehkan siasatan ke atas skandal 1MDB dijalankan dengan baik.
Tuan Ibrahim meminta Najib bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara melengkapkan hasil siasatan mereka terhadap laporan 1MDB.
Beliau menggesa Najib berbuat demikian sebagai menjawab balas kenyataan yang dibuat oleh Naib Presiden Umno, Datuk Hishamuddin Hussein yang mahu tugas memulihkan imej Islam harus di beri keutamaan.
“Pada dasarnya, saya setuju dengan cadangan tersebut (Hishamuddin). Memperbaiki imej Islam bukan pada gaya pakaian atau negara tertentu. Tetapi ianya turut melibatkan penghayatan ajaran Islam dalam pelbagai bidang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan Tuan Ibrahim dibuat selepas seminggu Najib dan presiden PAS, Hadi berpakaian sedondon dalam majlis perasmian Multaqa Alumni Al Azhar Malaysia di sebuah hotel dekat ibu negara.