Ceramah oleh Setiausaha Agung yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Kok Lanas, Kota Bharu semalam menyaksikan Pas beberapa kali disindir dengan diingatkan supaya tidak “mendekati” Umno-BN.
Tanpa menyatakan Pas, mesej daripada Ahli Parlimen Pandan itu jelas apabila menyebut beberapa ciri yang umum diketahui dikaitkan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
Rafizi antaranya menyebut istilah taawun (tolong menolong) dan warna merah jambu merujuk kepada pakaian sedondon yang dipakai oleh Presiden Umno dan Pas dalam program alumni Al-Azhar pada Disember lalu.
“Kalau kita terkeliru boleh atau tidak boleh dekat dengan Umno, ada perkataan baru sekarang – taawun dengan Umno ini kena tengok harga barang mahal di pasar, nampak muka Rosmah dan Najib InsyaAllah kita tidak akan terpesong.
“Dia (Najib) boleh buat apa sahaja, hari ini dia nak pakai jubah, hari ini dia nak pakai pink, dia pakai pink. Ikut suka dia,” ujarnya dalam program anjuran Amanah itu.
Selain itu, beliau turut mengaitkan kenyataan Hadi pada November lalu yang bersedia untuk partinya menjadi penasihat kepada kerajaan kerana kononnya Pas bukan gilakan kuasa atau mahu menguasai Putrajaya.
“Nak jaga orang Melayu, jatuhkan Umno, Najib dan Rosmah bukan nasihatkan Najib untuk kekalkan dia sebagai Perdana Menteri,” ujarnya sambil menegaskan beliau hormat dan berkawan dengan semua pihak asalkan niat dan matlamat jelas.
Terdahulu, Rafizi memulakan ceramahnya dengan memberitahu kedatangannya di pentas Amanah pada malam itu menimbulkan isu tetapi beliau tiada masalah untuk hadir jika dijemput untuk menerangkan masalah kepada rakyat akibat kepincangan pentadbiran kerajaan Umno-BN.
“Amanah adalah rakan politik melalui Pakatan Harapan bagi Keadilan. Kita ada tujuan khusus membantu rakyat dan menyelamatkan negara melalui Pakatan Harapan.
“Saya faham kita juga ada kerjasama dengan Pas sebab itu saya sebut sesiapa yang kalau matlamat itu sama untuk menjatuhkan Umno-BN, saya tiada masalah. Hatta kalau Rosmah panggil saya untuk jatuhkan Najib pun saya hadir juga,” katanya diikuti ketawa hadirin.