Rakyat digesa menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun ia diluluskan kerajaan pada Sidang Khas Parlimen akan datang bagi menolak pelaksanaan TPPA, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
“Tak ada alasan untuk kita menerima TPPA, kita akan terus menolak dan berbahas di sidang Khas Parlimen akan datang. Kita boleh berhujah berbahas tetapi dengan kuasa majoriti mereka ia tetap diluluskan pada undian terakhir, namun rakyat boleh terus membantah pelaksanaan tersebut,” ucap beliau di Padang Merbok pada Himpunan Bantah TPPA sebagaiana dipetik dari Harakahdaily.net.
Menurut beliau, rakyat perlu menolak dengan memasang banner di setiap rumah seluruh negara sebagai tanda soladiriti rakyat.
“Pasang banner di setiap rumah, poster pada kenderaan sebagai tanda bantahan kita.
“Ini suara kita sebagai rakyat untuk menolak perjanjian yang akan menjajah ekonomi negara,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Beliau yang menegaskan bantahan yang dilakukan hari ini bukan kerana seorang individu yang memerintah negara ini tetapi sebuah sistem yang dipersetujui kerajaan.
“Kita bukan menolak atas dasar individu tetapi sistem yang dipersetujui kerajaan, sebuah sistem penjajahan baru yang akan menakluki negara ini.
“Ini semangat kita dan pendirian sebagai rakyat Malaysia yang menolak sistem penjajahan baru terhadap negara ini,” ucap beliau lagi.
Sementara itu, Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah menyeru semua Ahli Parlimen untuk menolak TPPA pada persidangan khas pada 26 dan 27 Januari ini.
Katanya penolakan ini untuk mengelakkan ekonomi negara ini tidak dijajah oleh multinasional.
Selain itu rakyat negara ini juga harus menolak TPPA kerana perjanjian itu akan menghadkan kemampuan parlimen untuk menggubal undang-undang.
“Kerajaan mesti menyelesaikan isu seperti penyalahgunaan wang rakyat terlebih dahulu sebelum bincang soal TPPA,” ujarnya.
Dianggarkan 2,500 dikalangan pemimpin politik dan NGO serta rakyat berhimpunan untuk mengadakan demontrasi aman Bantah TPPA di Padang Merbok hari ini.