PAS perlu berani membuat sesuatu keputusan tanpa rasa takut bimbang kehilangan kepercayaan penyokong dan rakyat.
Jika benar kerjasama politik bersama Umno adalah demi perjuangan Islam dan ketuanan Melayu, PAS jangan teragak-agak melakukannya.
Hari ini rakyat masih melihat PAS teragak-agak dan teracah-acah. Seolah-olah ada ketakutan dan keraguan.
Kita jangan takut untuk bertindak jika untuk kepentingan Islam dan negara.Tidak ada gunanya melakukan sesuatu perkara sehingga menyebabkan timbul prasangka dan persepsi pelbagai dalam minda pengikut dan rakyat terbanyak.
Jika benar tindakan untuk bekerjasama dengan Umno dari segi politik dan hal-hal lain adalah menguntungkan Islam, bangsa dan negara ayuh teruskan.
Jangan dihiraukan cemuhan kritikan dan sangkaan buruk orang lain.
Perkara baik tidak elok dilengahkan. Niat ikhlas wajar direalisasikan tanpa rasa canggung dan malu-malu.
Usah difikirkan perasaan orang lain. Jangan dinilai dari pendapat orang lain. Biarlah orang lain hendak kata apapun.
Semua itu ibarat tidak penting yang lebih penting adalah kepentingan Islam, bangsa dan negara.
Kerjasama Umno-PAS bukan baru. PAS pernah bersama Umno dalam Perikatan dahulu. Jadi ia bukan perkara dongeng dan tidak pernah berlaku.Banyak juga yang PAS dan pemimpinnya dapat semasa kerjasama itu.
Ada pemimpin yang jadi menteri, timbalan mmenteri, setiausaha parlimen dan ada pula yang menjawat jawatan penting dalam jabatan dan agensi kerajaan.
PAS ketika itu bukan sekadar penasihat atau pengkritik. PAS menjadi sebahagian dari kerajaan.
Jika kerjasama baru ini dilaksanakan, jika yakin PAS akan dapat lebih dari itu. PAS sekarang mempunyai ramai pakar dan cerdik pandai. Maka akan ramai mereka ini akan diambil bukan setakat penasihat tetapi lebih tinggi ‘maqam’nya dari penasihat.
Penasihat mungkin sekadar menasihati yang boleh didengar dan tidak dipatuhi. Penasihat mungkin berbuih mulut dan letih bercakap, belum tentu diterima pakai nasihatnya.
Namun jika PAS diterima sebagai rakan kongsi dalam kerajaan maka sudah tentu suara PAS lebih ‘power’ dan ada kuasa untuk menentukan sesuatu dasar dan polisi.
PAS akan segan untuk bekerjsama andai kerjasama itu boleh mengubah dasar kerajaan supaya lebih telus, mesra rakyat,lebih demokratik dan yang lebih penting lebih Islamik.
Mungkin kerjasama ini akan memperlihatkan amalam Islma yag lebih baik contohnya undang-undang Islam dapat dilaksanakan, rasuah dikurangkan dengan drastik,tadbir urus yang hebat, penyelewengan dan salah guna di tiadakan.
Kita yakin jika semua itu dapat diterangkan dengan baik, bukan hanya ahli dan penyokong PAS merestui hubungan intim PAS-Umno, malah MCA, MIC, Gerakan dan semua parti-parti komponen Barisan Nasional pun senang hati dan mengidam untuk berkawan dan bekerjasama dengan PAS.
Malah rakyat pun pasti tidak sabar-sabar untuk berdiri dibelakang pasangan pengantin lama PAS-Umno.
Tawaran dan pinangan serta pujukan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar difikirkan dengan serius dan prihatin.
Kesudian pimpinan atasan PAS untuk bersama dengan Umno akhir-akhir ini mungkin akan membawa sirna baru dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Mungkin ‘pernikahan’ semula ini dapat menyelesaikan semua kemelut kezaliman,rasuah, dasar tidak demokratik, keborosan dan ketirisan, penindasan serta seribu satu macam kemelut dalam negara.
Rakyat sedang menanti dengan penuh pengharapan episod seterusnya.