PAS Sarawak jawab Adenan Satem : Sarawak perlu parti pembangkang

Oleh MALAYSIADATELINE

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee Sarawak masih memerlukan pembangkang untuk memberi pandangan membina dan sebagai semak dan imbang agar tidak berlaku penyalahguna kuasa parti pemerintah dan tidak mengambil perhatian terhadap rakyat, demikian pandangan balas Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee.

Kata beliau, PAS sebagai sebuah parti Islam amat diperlukan di Sarawak sebagai pengimbang antara keperluan di dunia dan di akhirat. PAS bukan saja sebagai parti politik tapi juga sebagai parti dakwah dan tarbiyah (Pendidikan dan Asuhan).

“Tiada isu parti PAS hanya untuk Semenanjung yang sering dijadikan hujah untuk menyingkir parti dari Semenanjung ke Sarawak.

“Jangan terlalu bersikap perkauman dan kenegerian sehingga sukar untuk menerima teguran dan cadangan dari pihak pembangkang walaupun berlainan ideologi politik sepatutnya Ketua Menteri Sarawak bersikap terbuka untuk mendengar teguran dan nasihat dari pihak pembangkang,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Jofri menjawab balas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini yang membayangkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka diadakan pada bulan Mac depan.

Adenan juga dipetik sebagai berkata, telah mendapatkan persetujuan daripada pimpinan Umno bahawa parti itu tidak akan melebarkan sayapnya ke Sarawak. Dengan itu beliau juga harap tiada calon parti pembangkang dari Semenanjung di Sarawak.

PAS Sarawak juga telah mengumumkan  akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi DUN pada Pilihan Raya Sarawak (PRN Sarawak) yang akan datang termasuk beberapa kerusi bandar yang biasa ditandingi DAP dan sambutan PAS Sarawak kata Jofri semakin mengukuh di negeri itu.

Justeru PAS Sarawak mengesa Adenan dan kerajaan Sarawak mengambil perhatian dengan masalah rakyat sepenuhnya bukan hanya sekadar untuk menghadapi pilihan raya dengan melakukan sesuatu yang memberi manfaat untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dalam isu moral dan kurang pendidikan agama Islam di Sarawak maka PAS dapat membantu menyebarkan syiar Islam di kalangan penduduk Muslim di Sarawak.

“Kita semua mahu hak rakyat Sarawak diberi keutamaan sebab itulah Sarawak perlu pembangkang yang sentiasa menyuarakan masalah rakyat disamping sebagai pengimbang dan semak untuk kerajaan Sarawak.

“Adenan Satem jangan takut dengan pembangkang kalau mahu melihat Sarawak mencapai kemajuan dan setanding dengan negara lain dalam menghadapi zaman yang penuh dengan cabaran ini.

“Tanpa pembangkang, suara rakyat kurang mendapat perhatian. Adenan Satem perlu berani bersuara dan mempertahankan hak rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.” ujarnya.

Menurut Jofri lagi, PAS Sarawak berterima kasih kerana ketua menteri itu telah memansuhkan tol di negeri itu.

“Terima kasih kerana memansuhkan tol. Memang Sarawak tidak perlu tol pun sebab jalan raya dan lebuh raya di Sarawak memang tidak mengikut piawaian lebuh raya antarabangsa.

“Ada rakyat Sarawak mengatakan kalau jalan raya di Sarawak penuh dengan lobang sana sini dan bengkang bengkok sama seperti mereka yang tidak lurus dalam menjalankan amanah rakyat,” ujarnya.

Menurut Jofri setelah Adenan mengambil alih kuasa dari Pehin Sri Taib Mahmud tidak dinafikan ada sedikit perubahan dari segi corak pentadbiran pemerintahannya tetapi masih lagi mengekalkan menteri kanan.

“Walaupun tol dihapuskan tapi masalah keperluan rakyat masih lagi memberi tekanan kepada kehidupan rakyat biasa.

“Contohnya tariff elektrik Sarawak menurun tetapi GST masih dikenakan dan harganya lebih kurang sama saja.

“Begitu juga dengan tempat tinggal masih ramai rakyat Sarawak tidak memiliki rumah sendiri disebabkan kemiskinan dan tidak memilik hak milik tanah.

“Isu tanah yang sentiasa menjadi isu rakyat kerana Sarawak yang mempunyai keluasan tanah sebesar Semenanjung Malaysia sepatutnya sudah mampu menyelesaikan masalah penduduk asal tanpa tanah dan tidak memilik hak ke atas tanah pusaka moyang mereka.

“Mengapa sampai sekarang sukar bagi penduduk asal mendapatkan hak milik mereka sedangkan pemaju dengan mudah mendapat hak milik tanah dari penduduk asal?,” soalnya.

Jelas Jofri lagi, kerajaan Sarawak masih memberi keutamaan kepada pemaju untuk memiliki tanah rakyat dengan membina rumah yang tidak mampu dimiliki oleh rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Inilah beberapa isu rakyat yang perlu Adenan Satem ambil perhatian.

“Semasa PAS memerintah Terengganu dulu, PAS memansuhkan tol dan memberi hak milik tanah kepada rakyat. Kita juga mengesa kerajaan Sarawak memansuhkan semua GST dan lain-lain cukai yang membebankan rakyat.

“Kerajaan juga perlu membina jambatan dekat pangkalan Feri untuk memendekkan perjalanan penduduk kampung yang terpaksa berbaris panjang untuk menyeberangi sungai.

“Kembalikan semula biasiswa untuk rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan pelajaran sama ada di dalam dan luar negara,” ujarnya.