PAS tidak akan bergabung atau mengadakan kerjasama politik dengan Umno kerana pernah mempunyai pengalaman pahit dengan parti komponen BN itu pada tahun 1970-an.
Ketua penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, PAS akan bekerjasama dengan Umno demi kepentingan Islam dan kebaikan rakyat.
“Bergabung entiti politik antara PAS dan Umno menerusi BN tidak akan berlaku kerana kita pernah berpengalaman ketika berada dalam BN 1974 hingga 1978.
“Kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno untuk kepentingan Islam dan kebaikan rakyat akan dilakukan sebagaimana dasar yang diajar oleh Islam iaitu ‘bekerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa’,” kata beliau kepada Malaysia Dateline hari ini.
PAS pernah ditendang keluar dari BN pada penghujung tahun 1970-an selepas tidak sependapat dalam beberapa perkara termasuk tidak bersetuju dengan perintah darurat di Kelantan ketika itu.
Khairuddin yang juga ahli Majlis Syura Ulamak PAS juga berkata, antara syarat kerjasama antara PAS dan Umno adalah PAS akan menasihati Umno berkaitan dasar politik dan pengurusan Umno yang menekan rakyat.
“Segala dasar politik dan pengurusan Umno yang menekan rakyat dan bercanggah dengan kehendak Islam akan dibangkang, ditegur, dikritik dan dinasihati oleh PAS untuk ditinggalkan berdasarkan prinsip Islam ‘jangan bekerjasama atas dasar dosa dan pencerobohan hak’,” katanya lagi.
Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 2 Januari lalu mengizinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno demi kepentingan Islam, bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai BN.
Isnin lalu, setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu media bahawa Pas akan mengadakan satu taklimat khas Sabtu ini bagi menerangkan isu kerjasama dengan Umno kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut.
Taklimat tersebut menurutnya akan disampaikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan merupakan anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat.