Isu pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) menyaksikan ketidakpuasan hati PAS terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) yang semakin meluap apabila mengugut akan keluar dari kerajaan negeri Selangor.
Pertimbangan PAS berhubung kedudukannya dalam kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu diputuskan dalam Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor.
Kenyataan bersama oleh ketiga-tiga dewan iaitu Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS negeri tersebut juga senada dengan pendirian Pesuruhjaya negeri, Datuk Iskandar Samad bahawa PAS Selangor sama sekali tidak akan melepaskan kerusi ahli majlis yang sebelum ini disandang PAS kepada Amanah.
“Kami juga tetap mempertahankan kerusi ahli majlis PBT PAS yang sebelum ini dan begitu juga lantikan-lantikan politik PAS yang lain dalam kerajaan negeri,” ujar kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Menganggap tuntutan Amanah berhubung peruntukan tempat bagi ahli majlis PBT sebagai tidak bertanggungjawab, PAS Selangor mendakwa Amanah sejak awal penubuhannya telah memperlihatkan cara politik tidak berakhlak dan tiada maruah diri apabila ‘melarikan’ beberapa kerusi PAS Dun dan Parlimen di Selangor melalui jalan pintas.
“Tuntutan PAN (Amanah) ini menggambarkan sikap dan rupa mainan politik kotor mereka yang langsung tiada kena-mengena dengan Kerajaan Negeri Selangor yang dibina atas persepakatan dan kemenangan dengan paduan tiga komponen parti iaitu PAS, PKR dan DAP pada PRU 13 yang lalu,” ujar mereka.
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Selangor, Ustaz Rizuan Rahmat; Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim serta Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan itu lagi, Amanah sebenarnya tidak memiliki apa-apa hak dalam kerajaan negeri Selangor.
“Walaupun bersahabat dengan PKR dan DAP, mereka tidak patut dengan sewenang-wenang ingin memposisikan orang mereka dalam kerajaan apatah lagi ingin mengambil kerusi ahli majlis daripada PAS Selangor…
“Kami juga merujuk kepada keputusan mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor bahawa PAS akan mempertimbangkan kedudukannya dalam Kerajaan Negeri Selangor sekiranya hak PAS diketepikan dan PAN (Amanah) dengan mudah boleh berada dalam kerajaan negeri,” kenyataan bersama itu dipetik.
Tuduhan konsisten
Selain tidak mengiktiraf Amanah, tuduhan Amanah sebagai pengkhianat juga konsisten disebut oleh Setiausaha PAS Negeri Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Menghormati keputusan Azmin untuk melantik ahli-ahli majlis dari Amanah, Adun Paya Jaras itu bagaimanapun berkata, PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Amanah tetapi mendakwa mereka memahami dilema yang dihadapi oleh Azmin.
“Sehubungan itu, kami berharap bilangan ketua kampung PAS juga akan dapat dikekalkan apabila berlaku perlantikan baru kelak. Semoga kerjasama erat di antara PAS dan YAB (Azmin) akan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat negeri Selangor,” tambah Khairuddin lagi.
Sementara itu Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim dilihat optimis dengan ruang yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor dalam PBT negeri.
“Amanah Selangor akan meneruskan rundingan dengan pimpinan Kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan bersesuaian bagi memastikan Pakatan Harapan terus kukuh di Selangor,” ujarnya lagi.