Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata tindakan PAS untuk menambah lima lagi kerusi bertanding dalam pilihan raya umum akan datang hasil daripada kajian Jabatan Penyelidikan PAS Pusat dan mengambil kira suara akar umbi parti.
“Kita mendapat maklum balas daripada akar umbi untuk bertanding lebih kerusi. Kita sedang mempertimbangkannya selepas bertanding 20 kerusi pada Pilihanraya Raya Umum ke-13 lalu,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Ijtima’ Pilihan Raya PAS Selangor.
Keputusan menambah lima lagi kerusi menyaksikan PAS akan bertanding 25 kerusi di Selangor pada pilihanraya umum ke-14 nanti.
Ketika ditanya kemungkinan bakal berlaku pertembungan tiga penjuru, Iskandar sekadar menjawab ‘tidak tahu’ namun segalanya bakal diputuskan kelak.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi,PAS berjaya memenangi 15 kerusi daripada 20 kerusi dipertandingkan pada Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Namun, tindakan dua daripada ADUN mereka mengambil keputusan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) menyaksikan PAS kini mempunyai 13 kerusi DUN di Selangor.
“Kita akan tambah lagi lima kerusi selepas ini menjadikannya 25 kerusi. Sebelum ini PRU13, kita bertanding 20 kerusi di Selangor,” katanya.
Iskandar ketika menjawab pertanyaaan media tidak menafikan kedudukan lapan kerusi Dun di Selangor mungkin terancam apabila terpaksa berdepan Umno dan DAP selepas DAP mengumumkan akan meletakkan calon pada pilihan raya akan datang.
Iskandar yang juga Naib Presiden menegaskan, walaupun PAS bakal berdepan musuh baru namun pihaknya mahu jentera pilihan raya PAS terus utuh mempertahankan kerusi sedia ada dan mempertimbangkan lima lagi kerusi baharu.
“Kita baru kesan dua dan DAP pun dah umum melalui senarai nama ahli majlis yang akan jadi calon mereka nanti.
“Kita juga pertimbangkan lima kerusi baru sebab kajian yang dibuat oleh Jabatan Penyelidikan PAS Pusat menunjukkan PAS boleh menang sebab itu kita tambah kerusi,”katanya.
Daripada segi komposisi Kerajaan Negeri, PAS mempunyai tiga Exco dan seorang Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).
Perhimpun hari ini telah mengumpulkan 5,000 anggota jentera pilihan raya parti itu.
Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyampaikan ucapan perasmian perhimpunan. Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali dan pemimpin PAS negeri, turut membentangkan kertas kerja pilihan raya dalam perhimpunan diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.