Pas sokong inisiatif Pemerkasa+, warganet kecam anggap ‘Pak Angguk’ sudah datang

Oleh Oleh FAZLI RADZI

Sejak mendapat jawatan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) semuanya Pas sokong. Demikian sikap Pas yang dilihat orang ramai sejak bersama Langkah Sheraton tahun lalu.

Terbaharu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong tindakan dan usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan inisiatif Pemerkasa+ bernilai RM40 bilion yang diumumkan malam tadi.

Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah bertaraf menteri itu juga menyokong sepenuhnya keputusan seluruh jemaah menteri dan timbalan menteri untuk tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Semoga inisiatif yang diumumkan ini akan dapat mengurangkan bebanan yang dihadapi rakyat semasa kita berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal wabak pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Walau bagaimanapun, kenyataan sokongannya yang dikongsi di Facebook itu dilihat hanya menerima lebih banyak kecaman orang ramai dengan berpendapat Pas gagal berperanan dalam kerajaan PN.

Pengguna Facebook Khomeini Halipah berkata, “Pak Angguk sudah datang” manakala Zulkifli Adam mengingatkan sikap Pas yang dulunya membawa sepanduk mengkritik kerajaan dengan berarak protes di pusat beli belah Sogo di ibu negara menuju ke Padang Merbok.

Ada juga mempersoalkan sikap Pas yang ‘tidak berbunyi’ selepas Kementerian Pengangkutan mengakui lintasan pesawat awam Boeing milik Israel di ruang udara Malaysia pada 19 Mei lalu.

“Sokong jangan tidak sokong. Lagi satu, tuan guru (Abdul Hadi), isu pesawat Israel, bagaimana? Senyap saja.

“Dah sokong Israel ke? Jangan tuan guru. Tak baik sokong pengganas. Buat sesuatu tuan guru. Jangan biar pengganas berkeliaran di negara kita,” sindir Idris Yahya.

Tidak kurang pula yang mempersoal kerja sebenar Abdul Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah bertaraf menteri itu sejak April tahun lalu.

“Mahu tak sokong. Bulan-bulan elaun duta khas tahap menteri masuk tu tuan guru. Tapi tak tahu elaun itu dapat untuk sokong (kerajaan) atau untuk kerja.

“Kalau kerja belum nampak lagi tu,” kata Muhamad Khairul Nizam.

Abdul Hadi yang juga bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu dalam kenyataannya malam tadi turut mengumumkan pelancaran kutipan dana untuk Tabung Bencana Covid-19.

“Di peringkat Parti Islam Se-Malaysia (Pas), kami melancarkan kempen Kutipan Dana Tabung Bencana Covid-19 bagi membantu rakyat yang terjejas dengan wabak ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Marang berkenaan telah mengingatkan tempoh penularan Covid-19 pada masa ini bukanlah masa sesuai untuk mana-mana pihak termasuk golongan agama meremehkan Perdana Menteri.