PAS tidak akan menyerahkan walaupun satu kerusi kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan bersedia untuk ‘satu lawan satu’ dengan Umno BN, tegas Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, PAS mempunyai pengalaman dengan Parti Negara dan Semangat 46 dan banyak kali berkorban dengan rakan tahalufnya dari segi pembahagian kerusi.
“PAS bertegas tidak akan berkompromi menyerahkan kerusi kepada sesiapa pun.
“Setiap kali PAS mengadakan tahaluf kita berlapang dada selama ini. Kita bekerjasama dengan Semangat 46 dengan menyerahkan kerusi PAS.
“Bahkan di zaman kerjasama dengan Parti Negara PAS juga menyerahkan kerusi termasuk di Kuala Terengganu. Bergabung dengan PKR kita menyerahkan kerusi kita dan jentera kita untuk membantu rakan-rakan.
“Hari ini mereka minta supaya PAS berkerjasama dengan gabungan baru maksudnya PAS perlu menyerahkan kerusi PAS.Tidak mungkin berlaku,” kata beliau di Ijtimak Jentera Pilihan raya PAS Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.
Beliau juga berkata, PAS telah banyak membantu rakan tahaluf dari segi jentera pilihan raya malangnya apabila mereka menang, mereka menendang PAS.
“Kita punya jentera. Semalam waktu ucap utama dalam taklimat presiden, beliau menegaskan PAS bantu rakan kita, mereka mengambil manfaat dengan tenaga jentera kita mereka menang di atas jentera kita.
“Namun dukacita bila mereka menang mereka tendang kita,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, PAS Selangor akan bertanding 25 kerusi berbanding 15 kerusi pada PRU13.
Naib Presiden PAS itu turut berkata, lapan kerusi PAS di Selangor mungkin tidak selamat apabila bukan sahaja terpaksa berdepan Umno tetapi juga DAP.
Ia berikutan DAP mengumumkan akan meletakkan calon pada pilihan raya akan datang.
Namun beliau berkata, pihaknya mahu jentera pilihan raya PAS terus mempertahankan kerusi sedia ada.
“Kita baru kesan dua dan DAP pun dah umum melalui senarai nama ahli majlis yang akan jadi calon mereka nanti,” katanya.