Tindakan PAS menolak kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) tidak bermakna perpaduan tidak boleh dicapai dalam kalangan orang Melayu di Kelantan demi kepentingan Islam dan pembangunan negeri.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata perpaduan umat Islam di Kelantan amat penting kerana ia menjadi tanda aras atau “kayu pengukur” sejauh mana perpaduan umat Islam di Malaysia.
Ini kerana majoriti penduduk Kelantan adalah terdiri daripada orang Melayu dari dahulu hingga sekarang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sepagi Bersama Penduduk di Kampung Sungai Hala Dalam di sini, hari ini.
Ahmad Jazlan mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh mengenai keputusan majlis itu yang memutuskan parti itu tidak akan menjalin kerjasama politik dengan BN, Sabtu lepas.
Sebaliknya, Nik Mohd Zawawi dilaporkan media berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang melibatkan soal agama Islam.
Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negeri ini berlaku antaranya berpunca daripada pelbagai ‘fatwa’ pemimpin PAS yang mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata perpecahan itu menyebabkan proses pembangunan negeri terbantut sehingga menyebabkan Kelantan jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
“Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini keadaan itu berubah apabila penyokong PAS di akar umbi sudah mendekati program-program yang dianjurkan UMNO, mereka saling bekerjasama seperti bergotong-royong membersihkan kawasan kampung,” katanya.
Beliau berkata UMNO Kelantan menghormati pendirian PAS itu namun berharap pada masa depan parti itu boleh mengadakan kerjasama politik dengan BN.