Seorang lelaki berbangsa India berjaya menarik perhatian ramai selepas memuat naik video dirinya bersemangat mahu berpuasa.
Dalam hantaran lain yang mendapat perhatian adalah video Kaartik Krishnan berkongsi videonya bersama isteri, N Rekka, membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.
Perkongsian Kaartik itu mendapat perhatian warganet yang memuji kesungguhan lelaki berkenaan berpuasa walaupun bukan seorang Muslim.
Memetik Harian Metro, Kaartik berkata, dia berpuasa kerana keinginannya untuk cuba merasai pengalaman dan bersemangat selepas mendapat galakan pengikutnya di TikTok.
“Sebenarnya, ini tahun pertama saya berpuasa… sebelum ini hanya pergi bazar Ramadan untuk beli makanan.
“Tapi disebabkan saya berkongsi video ke bazar Ramadan tahun lalu, ramai pengikut minta saya cuba berpuasa.
“Jadi tahun ini, saya cuba dan dapat galakan daripada isteri,” katanya seperti dilapor.
Kaartik adalah antara pempengaruh media sosial yang agak terkenal di TikTok dengan videonya yang sering memaparkan nilai kekeluargaan dan adegan lucu bersama isterinya.
Video-videonya yang melucukan dengan cepat mendapat perhatian masyarakat tidak kira kaum kerana dia banyak bertutur dalam bahasa Melayu di samping bahasa Tamil sendiri.
Memetik laporan, Kaartik menyatakan rasa terharu kerana rata-rata pengikut dan warganet memberi komen positif kepadanya.
“Saya baca juga komen dan ramai beri kata semangat, setakat ini tak ada lagi komen negatif.
“Ada juga yang hantar ‘DM (kiriman mesej) untuk bertanya khabar. Terima kasih kepada semua dan saya sangat menghargainya,” katanya yang turut menerima undangan berbuka puasa daripada sebuah jenama.
Baca juga: Kos nikah di Thailand cuma RM800, rupanya ejen kaut untung lebih