Isteri kepada pelawak, Along Cham iaitu Afreena Suhaimi mengakui masih menyayangi suaminya walaupun telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan termasuk digelar ‘Mak Lampir’ dan ‘scammer’ oleh selebriti itu.
Reda dengan segala tohmahan yang diterimanya ketika ini, Afreena juga berjanji tidak akan melakukan perkara serupa termasuklah memfitnah sebaliknya mengambil keputusan untuk menjaga semua aib suaminya.
Perkara itu dikongsikan Afreena menerusi satu hantaran di Instagram Story yang turut memaklumkan pendekatan sedemikian diambil untuk menjaga maruah Along sebagai suami selain masih menyayangi lelaki terbabit.
“Tidak mengapalah. Awak (Along) boleh dedahkan atau buat kenyataan apa sahaja yang awak mahukan. Awak juga masih suami saya. Jadi saya tidak akan mengaibkan atau memfitnah awak.
“Walaupun apa yang terjadi sekalipun. Siapa tak sayang suami kan?,” kata wanita berusia 32 tahun itu meluahkan isi hatinya menerusi hantaran dimuat naik di platform Instagram tersebut.
Dalam hantaran berikutnya, Afreena juga meluahkan rasa terkejut dengan kata-kata yang dihamburkan oleh Along sebelum ini seakan-akan tidak percaya ia keluar daripada mulut suaminya.
Perkara itu turut menimbulkan satu tanda tanya pada diri wanita terbabit mengenai perubahan sikap suaminya yang disifatkan sudah berbeza dan tidak lagi seperti dikenalinya sebelum ini.
“Scammer (penipu) RM100,000, curang, sekat nombor keluarga, apa lagi (tuduhan)?. Apakah sudah jadi kepada ‘hubby love’ yang saya kenal selama ini? Sebabnya dahulu awak bukan macam ini.
“Terima kasih suamiku untuk semua ini. Tetapi saya masih ambil berat, rindu dan sayang,” ujarnya mengakui perkara yang telah berlaku masih tidak menghilangkan perasaan kasihnya terhadap Along.
Dalam perkembangan terbaharu, Afreena memberitahu bahawa dirinya kini tidak mengetahui keberadaan Along berikutan suaminya itu masih tidak menghubunginya melalui panggilan telefon, mesej dan sebagainya.
Afreena bagaimanapun hanya mampu mengirimkan doa menerusi hantaran di platform Instagram agar insan yang begitu dirinduinya itu dilindungi Allah SWT dan berada di dalam keadaan sihat walafiat.
Terdahulu, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad mendakwa isterinya menyeleweng dana awam mencecah RM100,000 yang diterima daripada rakan artis termasuk pelakon senior, Datuk Aaron Aziz.
Wang sumbangan orang ramai itu sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang berada di dalam tahanan di Penjara Sungai Buloh sejak Disember lalu atas dakwaan memiliki bahan dipercayai dadah jenis ganja.
Along juga dalam proses memfailkan dan mengesahkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya selepas wanita terbabit didakwa melanggar tiga perjanjian sepanjang sembilan bulan perkahwinan mereka.
Walau bagaimanapun, Afreena kemudian tampil membuat laporan polis terhadap individu bernama Ika yang didakwa menipu sehingga bertindak menyerahkan wang sebanyak RM95,180 untuk membebaskan suaminya.
Baca juga: Polis tahan pasangan umur 20-an, berkait kes tipu isteri Along Cham tukar hukuman suami