Patah tulang pinggul akibat kemalangan, lelaki terpaksa lafaz akad dalam keadaan berbaring

Oleh KIM SYAZIE

Sepasang pengantin muda berjaya menarik perhatian media sosial dengan gelagat mempelai lelaki yang melafazkan akad dalam keadaan berbaring.

Difahamkan, lelaki tersebut mengalami kecederaan patah tulang pinggul akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal bulan lalu.

Dengan sekali lafaz, pasangan tersebut selamat diijabkabulkan di kediaman pengantin lelaki bertempat di Kedah pada Ahad lalu.

Menurut mempelai wanita yang dikenali sebagai Cik Lala, pernikahan tersebut sepatutnya berlangsung pada bulan hadapan di kediamannya, di Perak.

Namun memikirkan keadaan suaminya, mereka menukar perancangan untuk mengadakan majilis tersebut di Kedah.

Cik Lala berkata, kemalangan tersebut berlaku ketika lelaki itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari kampungnya.

Akibat daripada insiden berkenaan, badan suaminya dipasang antena atau pin penyokong yang membuatkan dia tidak boleh duduk atau berdiri.

Walaupun pergerakan pasangannya terbatas, Cik Lala bersyukur jejaka yang dikenalinya selama lima bulan itu telah sah menjadi teman hidupnya.

Dengan tularnya video itu, Cik Lala berharap pernikahannya dapat menjadi inspirasi dan pengajaran kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Baca juga: Bakal pengantin terduduk duit simpanan dari RM30,000 tinggal RM6

Baca Artikel Penuh