Patuhi arahan pihak berkuasa, pindah awal sebelum keadaan bertambah buruk

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan penduduk yang terlibat dengan banjir supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penduduk di kawasan bah perlu berpindah awal sebelum keadaan menjadi bertambah buruk sesuai dengan amaran hujan berterusan peringkat bahaya oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Ketua keluarga juga berperanan untuk sentiasa memantau pergerakan keluarga di kawasan banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat, negeri dan daerah sudah sedia diaktifkan.

Jelasnya, tahap kesiapsiagaan itu sentiasa ditambah baik bagi menghadapi bencana sedang serta bakal berlaku terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah dilengkapi dengan keperluan asas untuk mangsa yang terkesan.

“Saya meminta semua Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk memastikan segala aset pengoperasian adalah mencukupi serta berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu mangsa yang memerlukan bantuan diminta terus menghubungi talian 999 untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat Bahaya yang telah dikemas kini pada 18 Disember bagi Kelantan, Terengganu dan Pahang dan peringkat buruk di Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Luruan monsun dijangka berterusan sehingga 25 Disember ini dan hujan berterusan dijangka berlaku di timur dan utara Semenanjung.

Hujan lebat berterusan juga dijangka tertumpu di Pahang dan Johor bermula esok dan lusa.

Baca juga Perkukuh hubungan dua hala Malaysia – Mahmoud Abbas ucap tahniah kepada PM Anwar