Mempunyai jadual yang sibuk sebagai wanita bekerjaya, ibu ini menyerahkan tugas menghantar anak ke sekolah kepada pembantu rumah.
Mula curiga, pasangannya berkeras mahu menghantar orang gaji menaiki kereta walaupun jarak rumah ke sekolah hanya 10 minit berjalan kaki.
Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, semuanya mula terbongkar apabila anak perempuan mereka tiba-tiba berkata, “Ayah peluk kakak”.
Sepuluh tahun melayari rumah tangga, wanita itu bertekad menghantar pembantunya pulang ke Indonesia sebagai usaha menyelamatkan hubungan.
Wanita itu sanggup menghantarnya ke lapangan terbang kerana mahu melihat orang gaji itu berlepas ke terminal dengan mata kepalanya sendiri.
Keadaan semakin memburuk, pasangannya malah jarang pulang ke rumah dan tetap ‘bekerja’ saat negara dilanda wabak COVID-19.
Tergerak hati mahu memeriksa telefon bimbit saat lelaki itu pulang ke rumah, luruh hatinya apabila mendapat tahu mereka masih menjalinkan hubungan.
Tidak pulang ke Indonesia, lelaki itu mengaku mereka tinggal bersama di rumah sewa dan orang gajinya telah selamat melahirkan seorang anak pada Mei lalu.
Melaporkan masalahnya ke pihak polis, malangnya tiada tindakan boleh dikenakan kerana pembantunya memegang permit yang sah.
Kejadian itu berlaku di Singapura, oleh yang demikian, wanita berkenaan dirujuk kepada Kementerian Tenaga Manusia di Singapura.
Menurut kementerian, pembantu itu boleh dikenakan tindakan kerana mengandung dan melahirkan anak tanpa berkahwin dengan rakyat Singapura.
Jika sabit kesalahan, pembantu rumah itu boleh didenda sehingga SGD10,000 (RM30,500), penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali, lapor AsiaOne.
Baca juga: Ibu bapa simpan bible, anak dua tahun turut dipenjara seumur hidup