Beberapa hari selepas Kak Lina Pom Pom mengumumkan tidak akan lagi mengacara program realiti All Star Gegar Vaganza, tersebar desas desus mengatakan penyanyi itu kemungkinan menyertai program Famili Duo 3.
Berdasarkan khabar angin yang berlegar di media sosial, Kak Lina atau Elly Mazlein diramal menjadi peserta Famili Duo yang ketujuh yang akan bergandingan dengan suaminya Mohamad Azlan Che Nuh.
Dakwaan itu tular susulan satu video yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok bernama Azzim Aziz.
Menerusi hantaran yang dimuat naik itu, terpampang gambar serba hitam menunjukkan peserta misteri yang bakal menjadi pelengkap bagi rancangan realiti yang bakal membuka tirainya pada keesokan hari.
Apa yang menarik perhatian ialah gambar misteri tersebut dilihat mirip sekali dengan gambar perkahwinan Elly dan suami pada Januari 2020.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyuarakan keterujaan mereka dengan khabar angin tersebut dan tidak sabar untuk menyaksikan Famili Duo 3.
Sekadar info, Famili Duo akan bersiaran secara langsung setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 mulai 15 Oktober 2023 atau strim di www.tonton.com.my.
Baca juga: Tinggal berasingan sejak 1997, warga emas kecewa penceraian tak diluluskan mahkamah