PAU 2015: Pemuda Umno Selangor sentuh isu kenaikan tambang pengangkutan awam dan kadar tol

Oleh MALAYSIADATELINE

Isu kenaikan tambang pengangkutan awam serta kadar tol semasa adalah antara perkara yang akan disentuh Pemuda UMNO Selangor pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015, minggu depan.

Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zainal berkata ini kerana penduduk di Lembah Klang merupakan golongan paling terkesan dengan kenaikan mendadak kedua-dua perkhidmatan tersebut berbanding kawasan lain.

Beliau berkata pembangunan yang dilaksanakan kerajaan pusat seharusnya dipuji, namun kos sara hidup masyarakat terutamanya golongan muda di kawasan bandar juga perlu diberi perhatian khusus.

“Kebanyakan pengguna pengangkutan awam dan perkhidmatan tol di sekitar bandar raya terdiri daripada golongan muda dan belia yang mana mereka ini sedang membina sebuah kehidupan.

“Kami akan utarakan isu ini pada perhimpunan minggu depan sekiranya diberi peluang selain mencadangkan lebih banyak kepentingan golongan muda khususnya berkaitan pekerjaan dengan gaji sewajarnya disediakan demi keseimbangan kos sara hidup mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, isu-isu berkaitan pembangunan dan kestabilan politik negara dan juga parti turut akan disentuh oleh perwakilan dari Petaling Jaya Utara, Mohd Fakhzan Md Nor.