Tiga hari selepas penangkapan empat pegawai kanan dan anggota Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan kerana dipercayai menerima rasuah bagi membenarkan kegiatan bauksit haram, ramai pegawai penguatkuasa pejabat itu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilihat bertugas Ahad lalu walaupun cuti minggu.
Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alm Malaysia (Peka) Pahang, Khaidir Ahmad mendedahkan situasi tersebut yang dianggapnya sebagai sangat luar biasa bagi tempoh hampir dua tahun pencemaran teruk akibat perlombongan mineral itu berlaku apabila banyak lori pengangkut bauksit turut disita.
“Dah kena cekup (4 pegawai PTG ditangkap), baru kelam-kabut nak kuatkuasakan undang-undang. Hari ini (10 Januari) sempat mengintip ke kawasan ‘Planet Merah’ di sekitar Bukit Goh.
“Khabarnya, semua pegawai penguatkuasa jabatan terbabit di Kuantan kini dah tak boleh tidur lena sejak kumpulan pertama empat penguatkuasa PTG Pahang dicekup oleh SPRM pada Khamis (7 Januari) lalu,” ujar Khaidir dipetik dari Facebook beliau.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki yang telah berkhidmat dalam suruhanjaya itu sejak 32 tahun lalu.
Mereka yang ditahan sekitar Kuantan antara jam 6 petang hingga 9 malam itu berusia antara 30 hingga 38 tahun. Menurut Azam, pihaknya menemui sejumlah wang kira-kira RM100,000 yang disorok salah seorang daripada suspek dalam mesin basuh di rumahnya.