Peguam kongsi 7 ‘red flag’ calon isteri, lelaki nak jadi suami boleh nilai sebelum kahwin

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peguam syarie berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik perkongsian tentang ‘red flag’ atau petanda buruk yang boleh dinilai oleh para lelaki dalam memilih calon isteri.

Walaupun hantaran tersebut sedikit sebanyak membuat segelintir wanita ‘panas’, namun penilaian tersebut dilihat penting untuk dilakukan oleh para bakal suami sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Malah menurut peguam yang dikenali sebagai Dhalia itu, golongan lekaki juga memiliki hak untuk dilindungi oleh undang-undang syarie sekiranya berlaku sesuatu dalam rumah tangga mereka kelak.

Berikut kami kongsikan tujuh ‘red flag’ calon isteri dari sudut undang-undang syariah untuk lelaki berdasarkan perkongsian peguam syarie terbabit yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

1. Selalu ugut nak lapor ke Mahkamah atau Polis

Menurut peguam terbabit, petanda buruk pertama yang boleh diperhatikan oleh para bakal suami dalam mencari calon isteri adalah sikap mereka yang suka mengugut jika berlaku sesuatu sebelum mendirikan rumah tangga.

    “Baru bergaduh sedikit sudah mengugut, ‘Aku saman kau nanti!’. Belum kahwin tetapi sudah ugut dengan undang-undang. Red flag! Kalau awal-awal sudah suka ugut, takut nanti suami hilang peranan sebagai pemimpin rumah tangga,” katanya.

    2. Tidak hormat keluarga dan tidak boleh ditegur

    Petanda seterusnya adalah tiada rasa hormat dari wanita itu terhadap keluarga terutamanya kepada belah calon suami selain sikapnya yang tidak boleh ditegur berikutan tidak suka ‘dikawal’.

    “Apabila bakal suami tegur dia jawab, ‘Ini kehidupan aku, jangan masuk campur’. Selain itu, sikap yang tidak boleh ditegur langsung kerana semuanya dianggap menyekat. Dengan keluarga lelaki juga sudah nampak tak hormat.

    “Suka cakap buruk dalam isu melibatkan keluarga lelaki. Itu red flag juga. Dalam rumah tangga, tegur-menegur dan pemberian nasihat itu wajib. Bukan isu ego tetapi tanggungjawab dan menghormati keluarga masing-masing,” jelasnya.

    3. Kahwin sebab mahu larikan diri dari masalah

    Peguam syarie itu juga memaklumkan bahawa wanita yang mahu mengakhiri zaman bujang dengan alasan ingin melarikan diri daripada masalah merupakan salah satu petanda buruk dalam memilih calon isteri.

    “Mereka nak kahwin sebab nak bebas daripada keluarga atau penat hidup dalam sesuatu situasi dan merasakan perkahwinan itu lebih senang. Ini red flag juga. Kahwin nanti jadi pelarian sahaja.

    “Dikhuatiri suami kelak akan jadi mangsa beban emosi dan krisis lama mereka,” ujar peguam syarie berkenaan dalam perkongsian yang berjaya mendapat tontonan daripada 323,000 pengguna itu.

    4. Memiliki hutang atau tuntutan dari bekas suami yang masih belum selesai

    Mereka yang mahu mendirikan rumah tangga seharusnya memastikan calon isteri mereka tidak mempunyai hutang atau tuntutan mahkamah belum selesai dari bekas suami sekiranya memilih untuk berkahwin dengan janda.

    “Masih berada dalam proses kes cerai, mutaah atau iddah. Tetapi sudah tergesa-gesa nak berkahwin baru. Ataupun pernah kena saman nusyuz oleh suaminya sebab abaikan tanggungjawab semasa perkahwinan terdahulu.

    “Perkara ini juga adalah red flag! Lelaki perlulah menyiasat latar belakang bakal isteri yang pernah berkahwin sebab bimbang nanti terpalit dengan masalah sama juga,” tegas peguam berkenaan.

    5. Enggan daftar nikah secara sah

    Pendirian ataupun keputusan calon isteri yang enggan mendaftarkan perkahwinan secara sah juga adalah salah satu petanda buruk menurut peguam berkenaan dalam perkongsian sama.

    “Ajak kahwin senyap-senyap atau menikah di luar negara. Biasanya melibatkan kes penyondol. Asalkan sah akadnya, tidak didaftar juga tidak mengapa. Ini red flag. Kalau tak daftar, suami tiada kuasa dalam undang-undang.

    “Isteri juga boleh lari sesuka hati,” ulas Dhalia lagi di dalam perkongsian berbentuk gambar yang juga berjaya meraih sebanyak 20,300 tanda suka daripada pengguna platform berkenaan.

    6. Suka minta cerai tanpa alasan syarie

    Petanda buruk perlu diperhatikan dalam sikap sang isteri adalah tindakan mereka yang cukup gemar meminta cerai tanpa alasan kukuh setiap kali berlaku sebarang salah faham atau pertengkaran.

    “Tengah marah sedikit tetapi teruslah cakap, ‘Kita bercerai sahaja. Tidak perlu pening-pening’. Selain itu, suka main tarik-tali. Hari ini nak cerai, esok rujuk balik. Lusa nak cerai semula. Ini juga adalah red flag.

    “Penceraian itu bukanlah bahan ugutan mahupun drama. Semuanya ada prosedur yang sah serta kesan-kesannya mengikut undang-undang,” Nasihat peguam itu juga di dalam hantaran itu.

    7. Tidak memahami konsep taat dan nafkah

    Petanda buruk terakhir yang perlu dinilai oleh bakal suami dalam pemilihan calon isteri adalah pemahaman mereka mengenai konsep taat dan nafkah selepas melangkah ke alam rumah tangga kelak.

    Hal ini berikutan ada sesetengah wanita yang mempunyai pandangan bahawa mereka tidak perlu lagi taat kepada suami kerana perlu keluar rumah untuk mencari wang bagi menampung kehidupan berumah tangga.

    “Mereka rasa, ‘Aku ada pendapatan sendiri, kenapa nak harap duit suami?’ Selain itu ada rasa boleh hidup tanpa suami. Ini red flag. Dalam Islam, nafkah dan ketaatan itu bukan sebab patriarki tetapi tetapan hukum syarak.” Jelasnya lagi.

    Baca juga: Sokong aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan, Steven Sim sumbang RM90k kepada 9 masjid