Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali harus bersumpah dengan al-Quran bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara tidak mengaitkan Perdana Menteri dengan rasuah, cabar Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam blognya hari ini.
Sebagai orang Islam yang baik, kata Tun Mahathir, Peguam Negara harus bersumpah menggunakan al-Quran di masjid dengan disaksikan pegawai masjid dan orang ramai bahawa laporan-laporan badan itu tidak mengaitkan Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan amalan itu.
“Dia tidak patut menipu dengan berikrar sesuatu yang lain di dalam hati, dan bersumpah perkara lain pula.
“Ini akan jadi dosa berganda. Dia akan masuk ke neraka yang lebih teruk,” kata Mahathir.
Tun Mahathir berkata, beliau lakukan desakan ini kerana kemungkinan beliau akan ditahan, sebagaimana amaran untuk menangkapnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini.
Polis mula menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan dalam blognya baru-baru ini yang didakwa berunsur fitnah.
Khalid dipetik sebagai berkata siasatan dimulakan sebaik sahaja menerima laporan daripada beberapa pihak yang mahu perkara itu diambil tindakan segera.
Dalam tulisan di blognya pada 5 Februari lalu, Tun Mahathir mengatakan Peguam Negara tidak mempunyai kredibiliti dan mendakwa Mohamed Apandi tidak akan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion kerana kononnya terhutang budi dengan Najib.