Belum genap setahun pemergian Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, seorang lagi penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) iaitu Amirul Nashriq Othman dilaporkan maut ketika masih belajar di institusi berkenaan.
Allahyarham Amirul Nashriq dikatakan tenggelam ketika bermandi-manda di sebuah kawasan rekreasi air terjun terletak di Bentong, Pahang bersama tujuh rakannya yang juga merupakan penuntut UPNM.
Walau bagaimanapun, keluarga Amirul mengesyaki pemergian mangsa pada 24 Mac 2018 lalu itu mempunyai unsur-unsur penganiayaan namun ketika itu tiada peguam mahu membantu ekoran faktor kekurangan bukti dan sebagainya.
Selepas enam tahun kejadian berlalu, siapa sangka peguam jenayah tersohor iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar bakal tampil membantu keluarga Amirul menuntut keadilan dalam kes kematian bekas penuntut UPNM terbabit.
Menerusi satu sesi siaran langsung di aplikasi TikTok, Zaharil memaklumkan dirinya sudah bersedia memberikan khidmat secara pro bono kepada keluarga Allahyarham Amirul yang didakwa meninggal dunia kerana dibuli.
Zaharil yang turut dikenali sebagai ‘peguam kotak pensel’ itu juga bakal berkunjung ke kediaman keluarga Allahyarham di Perak dalam masa terdekat untuk membuat segala persediaan sewajarnya.
“Saya tak mahu duit keluarga dia (Amirul). Dia sudah pergi, saya berikan khidmat secara percuma sebab tak sampai hati mahu ambil (bayaran). Apa yang saya mahu ialah keadilan. Tugas masyarakat pula adalah menyokong saya.
“Sekarang ini bukan nak cakap apa. Syaitan-syaitan (pembuli) ini telah meresap ke dalam ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Mereka semua adalah Leftenan dan Kapten sekarang. Budaya itu akan diteruskan,” kata Zaharil.
Peguam berkenaan juga akan menulis surat kepada Majlis Angkatan Tentera (MAT) dan mengumpulkan data berkaitan termasuk laporan bedah siasat Allahyarham Amirul daripada pusat perubatan di Bentong.
Rakaman sesi siaran langsung yang diadakan bersama pasukan aktivis, RAKAN itu dikongsikan semula menerusi beberapa hantaran video dimuat naik di akaun TikTok, @rkantiktok.
Terdahulu, Amirul dikatakan termasuk ke dalam pusaran air di kawasan Air Terjun Chamang, Bentong, Pahang selama 15 minit dan gagal diselamatkan sebelum ditemui meninggal dunia pada 24 Mac 2018.
Terdapat kesan lebam dan calar ditemui pada jasad Amirul yang dikatakan berpunca daripada terkena batu sedangkan arwah sempat menghantar gambar kecederaan akibat dipukul tiga pelajar senior UPNM kepada keluaganya, dua hari sebelum meninggal dunia.
Baca juga: Senang je minta tumpang percuma, netizen puas hati tak ada kereta tumpangkan ‘bagpacker’ Mat Saleh