Pejuang anggap lebih baik tidak jadi kerajaan daripada jadi kerajaan dengan cara khianati kawan

Oleh ARIF ATAN

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menolak untuk menjadi kerajaan dengan cara mengkhianati rakan gabungan politik seperti pembentukan ‘kerajaan pintu belakang’ sebelum ini.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sejak pembentukan kerajaan pintu belakang akibat lompatan beberapa wakil rakyat, politik negara menjadi tidak stabil kerana dengan mudah kerajaan boleh dijatuhkan tanpa pilihan raya.

“Pejuang adalah pewaris parti yang menukar Malaysia dari negara pertanian yang miskin kepada negara separa maju.

“Pejuang menolak cara pintu belakang. Bagi Pejuang lebih baik tidak jadi kerajaan daripada menjadi kerajaan cara mengkhianati kawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Mahathir menjelang dua hari berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu turut menegaskan kriteria calon bertanding yang ditawarkan oleh Pejuang.

“Pejuang meletakkan calon-calon yang bersih walau muda dan bukan orang politik.

“Mereka mempunyai semangat kebangsaan (Johor dan Malaysia) dan akan kembalikan Malaysia ke landasan yang mampu memaju dan membersih negara. Seperti dahulu rakyatlah yang akan kecap kebaikan ini.

“Sokonglah Pejuang. Kembalikan demokrasi dan kebersihan hasil pilihan yang bijak,” kata Mahathir.

Untuk rekod, Pejuang hanya bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam PRN, 12 Mac ini.

Pejuang anggap lebih baik tidak jadi kerajaan daripada jadi kerajaan dengan cara khianati kawan
Pejuang bertanding 42 daripada 56 kerusi DUN dalam PRN Johor.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri dua kali itu menegaskan bahawa PRN Johor sebagai sia-sia jika pengundi memberi kemenangan kepada “bekas-bekas kerajaan pintu belakang yang juga ahli perasuah”.

“Hanya dengan lompatan beberapa wakil rakyat masuk parti yang kalah, parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan.

“Kerana kerajaan pintu belakang ini mudah dijatuhkan, mereka berada dalam ketakutan. Dan kita lihat bagaimana kerajaan pintu belakang ini dijatuh melalui pintu belakang juga oleh orang yang sama.

“Akhirnya kerajaan Johor ini dibubar. Pada 12 Mac rakyat Johor berpeluang mengembalikan demokrasi. Tetapi jika bekas-bekas kerajaan pintu belakang yang juga ahli perasuah dipilih kali ini tentulah sia-sia sahaja pilihan raya diadakan.

“Peluang ini perlu diguna untuk menukar Kerajaan dari yang gagal dan perasuah kepada parti yang bersih dan cekap yang dahulu melibatkan pemimpin yang memberi gelaran Harimau Asia (Asian Tiger), kepada Malaysia,” kata Mahathir lagi.

PRN Johor menyaksikan persaingan sengit dengan pertandingan tujuh penjuru di dua kerusi DUN iaitu Kempas dan Tiram dan enam penjuru di empat kerusi DUN iaitu Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa serta Larkin.

Pertembungan lima penjuru pula di lapan kerusi iaitu di DUN Tangkak, Bukit Naning, Semerah, Senggarang, Endau, Permas, Stulang dan Kota Iskandar manakala empat penjuru (35 kerusi DUN) dan tiga penjuru di tujuh kerusi DUN.

Seramai 239 calon bertanding dengan 223 calon adalah daripada 10 parti politik dan 16 calon Bebas.

Daripada jumlah itu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon di kesemua 56 DUN.

Selain Pejuang yang mempertaruhkan 42 calon, Pakatan Harapan (PH) menghantar 30 calon diikuti PKR (20 calon), Bebas (16) manakala Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) diwakili tujuh calon bertanding.

Sementara itu, enam calon dari Parti Warisan Sabah (Warisan), diikuti empat calon dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon.